Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perantis TechXPLORE Kohort 2 terima anugerah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) Negara Brunei Darussalam mengadakan majlis penyampaian anugerah bagi Program Perantisan Digital Tech Experience Learning Overseas in a Real-Working Environment (TechXPLORE) Kohort 2 yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, AITI, kelmarin.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI, di sini, hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Eksekutif AITI dan Ketua Bersama Manpower Steering Committee Working Group for ICT Sector (MISC-WG ICT), Haji Jailani bin Haji Buntar.

    Turut hadir, Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff selaku Ketua Bersama MISC WG ICT, ahli-ahli MISC-WG ICT dan wakil-wakil institut pengajian tinggi.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Penolong Ketua Eksekutif bagi Kumpulan Pembangunan Industri, AITI, Awang Muhammad Razan bin Haji Abdul Razak merakamkan penghargaannya kepada rakan kongsi kolaboratif dan mengetengahkan usaha berterusan AITI untuk membangunkan bakat digital Brunei menerusi pendedahan antarabangsa dan pengalaman langsung industri.

    Sementara itu, Pengarah Urusan Mindtrex Academy Sdn Bhd dan rakan kongsi kolaboratif AITI bagi Program TechXPLORE Kohort 2, Pengiran Muhammad Khairi bin Pengiran Haji Metussin menyampaikan gambaran keseluruhan perantisan sepanjang program tujuh bulan berkenaan termasuk penempatan di Bandung, Indonesia.

    Lima orang penerima bagi Perantisan Digital TechXPLORE Kohort 2 bergambar ramai pada acara tersebut. – GAMBAR SERAHAN AITI
    GAMBAR SERAHAN AITI

    Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada lima orang penerima bagi Perantisan Digital TechXPLORE Kohort 2 oleh Haji Jailani, di mana mereka dipilih berdasarkan potensi dalam bidang ICT masing-masing.

    Para penerima terdiri daripada graduan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) dalam Sarjana Muda Sains (Hons) (Kejuruteraan Perisian dengan Multimedia), Awang Muhammad Haziq Zulfadli bin Othman.

    Beliau akan ditugaskan sebagai pembangun Fullstack, untuk mereka bentuk, membangun dan mengekalkan kedua-dua bahagian hadapan dan belakang komponen aplikasi sesawang bagi memastikan pengalaman pengguna yang lancar dan bahagian pelayan yang cekap kefungsian.

    Sementara itu, seorang graduan dari Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) dalam Sarjana Muda Sains (Hons) (Perkomputeran Gunaan), Awang Mohammad Syazwi bin Mohammad Suferi juga akan ditugaskan sebagai pembangun Fullstack, bekerja merentasi keseluruhan teknologi, mengendalikan antara muka pengguna, logik pelayan dan pangkalan data, membolehkan pembangunan hujung ke hujung serta penggunaan penyelesaian perisian.

    Manakala graduan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), dalam Sarjana Muda Sains Digital (Sains Data), Dayangku Nur Batrisyia binti Pengiran Haji Shaifulrizal akan berkhidmat sebagai penganalisis sistem iaitu mereka bentuk dan menambah baik sistem IT dengan menganalisis keperluan, membangunkan penyelesaian serta memastikan kelancaran prestasi sistem.

    Graduan dari UBD dalam Sarjana Muda Sains Digital (Keselamatan Siber dan Forensik), Awang Mohamad Ikhwan bin Haji Harun ditugaskan sebagai jurutera DevOps Junior, bagi mengautomasikan infrastruktur, membantu dengan proses penempatan dan sistem pemantauan prestasi untuk memastikan operasi perisian yang cekap serta boleh dipercayai.

    Seorang lagi graduan dari LCB dalam Sarjana Muda Sains Perkomputeran, Awangku Muhammad Aiman bin Pengiran Nasaruddin, juga akan ditugaskan sebagai jurutera DevOps Junior, menyokong pasukan pembangunan dan operasi dengan menguruskan penempatan, memastikan kebolehpercayaan sistem serta mengoptimumkan aliran kerja dan prestasi.

    Peserta Kohort 2 memulakan perantisan mereka dengan sesi onboarding pada 6 Oktober dan akan melakukan perjalanan bagi penempatan selama enam bulan ke Bandung, Indonesia pada awal November nanti.

    Semasa tempoh perantisan, mereka akan berada di bawah pengawasan pakar industri dan akan melibatkan diri dalam praktikal, projek amali yang relevan dengan peranan kerja yang diberikan kepada mereka.

    Dengan matlamat untuk memberikan peluang kepada pencari kerja belia tempatan yang menamatkan pengajian dalam bidang ICT menjadi siaga industri dan lebih kebolehkerjaan, Program Perantisan Digital TechXPLORE merupakan sebuah inisiatif oleh AITI yang disokong oleh MISC-WG ICT yang ditubuhkan di bawah Manpower Planning and Employment Council (MPEC) di Jabatan Perdana Menteri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda