Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Perarakan ke Islamabad ditunda

    ISLAMABAD, 8 NOV – Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan menangguhkan perarakan bantahan di ibu kota negara itu bagi mencabar kerajaan yang menggantikannya, menurut kenyataan partinya hari ini.

    Fawad Chaudhry, pemimpin kanan dalam parti pimpinan Khan, Parti Tehreek-e-Insaf, berkata bahawa perarakan itu akan disambung Khamis ini dan bukannya hari ini seperti yang diumumkan sebelumnya.

    Namun dia tidak memberikan sebarang butiran mengenai sebab penundaan tersebut.

    Khan, yang memulakan perarakan bantahan lewat bulan lalu di bandar Lahore bersama ribuan penyokongnya, mengalami kecederaan semasa kejadian tembakan minggu lalu apabila seorang lelaki bersenjata menyerang konvoinya, membunuh seorang penyokong manakala 13 lagi cedera.

    Penyerang itu telah ditahan dan mengakui cuba membunuh Khan, menurut kenyataan polis. Serangan itu meningkatkan kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik yang semakin meningkat di Pakistan, yang sebelum ini mempunyai sejarah keganasan politik dan pembunuhan.

    Berikutan dengan serangan itu, penyokong Khan berarak di seluruh negara, ada ketikanya bertelingkah dengan polis. Kelmarin, mereka menghalang jalan-jalan raya di ibu kota Pakistan dan bandar di Lahore, Peshawar, Rawalpindi serta beberapa buah kawasan lain.

    Sejak kejadian tembakan itu, Khan juga mendakwa Perdana Menteri Shahbaz Sharif dan dua orang pegawai tentera dan kerajaan yang berkuasa sebagai dalang dalam cubaan bunuh itu, tanpa memberikan sebarang bukti. Pihak berkuasa telah menolak dakwaan tersebut.

    Hari ini, parti pimpinan Khan mengkritik kerajaan Sharif selepas pihak berkuasa mendakwa penyerang itu dengan cubaan membunuh, tanpa pegawai penyiasat seperti yang dituntut oleh Khan dan yang didakwanya mempunyai kaitan dengan serangan itu.

    Khan disingkirkan pada April selepas undian tidak percaya di parlimen dan sejak itu cuba untuk membuat kebangkitan semula. – AP

    Gambar fail menunjukkan Imran Khan bercakap semasa sidang media di hospital Shaukat Khanum pada 4 November lalu. Khan menunda perarakan bantahan di Islamabad dan ditukar pada Khamis. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...