BANGKOK, 5 Mei – Rakyat Thailand yang tidak sabar-sabar untuk menyaksikan hari penuh bersejarah telah memenuhi jalan-jalan raya di sekitar istana raja hari ini menunggu di bawah panas matahari yang terik bagi menyaksikan Raja Rama X yang baharu ditabalkan diarak di sekitar bandar bersejarah Bangkok dengan menaiki usungan emas.
Rakyat yang hadir memakai baju kuning – warna lambang diraja – dan memakai topi dan payung untuk berlindung daripada panas matahari yang mencecah 36 darjah Celsius, beratur di pos pemeriksaan keselamatan sambil membawa potret diraja.
“Ini mungkin peluang pertama dan terakhir saya untuk menyaksikan hari bersejarah ini,” kata Nattriya Siripattana, 57, memberitahu AFP mengenai upacara pertama seumpamanya dalam masa 69 tahun.
“Saya takut panas tetapi ia tidak akan menghalang saya.”
Istiadat pemahkotaan selama tiga hari, yang bermula hari Sabtu, adalah yang pertama sejak ayahanda Raja Vajiralongkorn iaitu Raja Bhumibol Adulyadej ditabalkan pada tahun 1950 dan kebanyakan rakyat Thailand tidak pernah menyaksikan istiadat gilang-gemilang tersebut.
Kemuncak istiadat kelmarin adalah upacara pembersihan diraja dengan air suci dijirus perlahan ke wajah baginda sebelum baginda dipakaikan Mahkota Keagungan di kepalanya yang diperbuat daripada emas seberat 7.3 kilogram, bertatahkan permata dari India. Awal pagi ini, raja mengurniakan gelaran diraja kepada kerabat diraja lainnya di samping isteri keempat baginda, Permaisuri Suthida yang dikahwini sebelum upacara pertabalan, dilantik sebagai permaisuri, bersimpuh di hadapan baginda sebagai tanda hormat dan kemudian turut duduk bersebelahan baginda.
Selepas itu, Vajiralongkorn menaiki usungan bagi istiadat perarakan dari istana oleh sekumpulan anggota tentera yang memakai topi emas bulat, diapit oleh pengiring lain yang memegang payung, memukul gendang dan alat diraja sepanjang perarakan tujuh kilometre itu. – AFP