KUALA LUMPUR, 10 MAC – Pemain beregu campuran profesional Malaysia, Tan Kian Meng, mengakui perasaannya bercampur baur menjelang penampilan terakhir pada siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu kejohanan All England yang akan membuka tirainya esok.
Kian Meng berkata meskipun sedih akan ‘menggantung raket’ selepas kejohanan berprestij itu, beliau dalam masa yang sama teruja untuk memulakan kerjaya baharu sebagai usahawan dalam talian.
Justeru, beliau berharap mampu memberikan persembahan terbaik, sekali gus menjadi hadiah perpisahan terbaik buat pasangannya, Lai Pei Jing, selepas hampir sembilan tahun digandingkan bersama.
“Memang ada fikir untuk beri hadiah perpisahan terbaik kepada Pei Jing. Jadi, ia mungkin satu motivasi untuk kami beraksi lebih baik pada perlawanan terakhir kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, Kian Meng ketika mengulas mengenai lawannya dari Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hu, pada pusingan pertama berkata beliau dan pasangan mempunyai kelebihan untuk memenangi perlawanan di Utilita Arena, Birmingham.
Bagaimanapun, beliau tetap berwaspada dengan ancaman lawannya itu, yang mampu menyebabkan mereka tersingkir awal pada kejohanan bertaraf Super 1,000.
“Walaupun nampak kita ada kelebihan, tetapi kami akan tetap berjuang melawan mereka,” katanya. – Bernama
