Kepada sidang pengarang dan para pembaca setia ruangan ini, di sini aku sekadar berkongsi soal perasaan tidak puas hati terhadap seseorang yang boleh dinamakan sebagai Puan M.
Ini bukan cemburu mahupun dengki. Cuma aku rasa aku meluat dengan perangai seorang wanita dalam satu group (kumpulan) WhatsApp kami.
Kumpulan WhatsApp tersebut sebenarnya untuk mengongsikan apa yang berlaku setiap hari terutama berkaitan info lalu lintas semasa.
Dalam group kami tu, ada lebih 1,000 orang. Dulu memang 300 orang sahaja yang dapat masuk, namun sekarang group itu sudah dapat memuatkan ahli sehingga lebih 1,000 orang.
Dalam kumpulan tersebut, ada tiga admin dan Puan M ni salah seorang daripadanya.
Hakikatnya, dia sudah berkahwin dan mempunyai anak. Saya tahu hal ini kerana dia selalu berkongsi hal ehwal rumah tangga dan peribadinya dalam group tu malah daerah tempat tinggalnya pun diberitahu.
Bukan itu saja apa anak dia buat pun dia maklumkan, termasuklah jiran. Bayangkan dia asyik mengata dan kuat mengadu mengenai jirannya dan orang yang dibencinya dalam group tu, padahal kami tak kenal pun siapa dimaksudkannya.
Kalau orang menasihatinya, dia melenting dan berkata, “Kalau tidak suka, boleh saja keluar dari group ini.”
Jadi, apabila disergah seperti itu, maka sesiapa pun tidak mahu cari gaduh dan lebih baik mendiamkan diri saja. Andaikata ada yang bertanya “kenapa tak keluar dari group tu saja?”
Ikutkan hati memang nak keluar tapi group tu saja yang saya tahu aktif dengan info semasa.
Saya pun terpaksa mengabaikan apa-apa sahaja perbualan mereka yang sia-sia dan hanya mengambil perkara yang penting saja.
Jadi, berkaitan Puan M, walaupun sudah hampir dua tahun berada di dalam group tu, perangainya masih sama suka berkongsi kegiatan hariannya dan suka berlawak tapi kadang-kadang marah.
Jika group itu sunyi, mana-mana orang yang tidak aktif memberi komen atau menghantar emoji terhadapnya akan dikeluarkan dari group tersebut.
Puan M juga suka memuji dirinya cantik di dalam group dan berkongsi gambar-gambarnya walaupun mengakui dirinya sudah berumur.
Kadang-kadang gurauannya melampau walaupun dia tidak serius.
Saya tidak tahu macam mana hendak menasihatinya kerana saya lebih suka berdiam diri dalam group tersebut.
Kalau saya nasihati, pasti ada yang melenting dan memihak kepadanya, kerana dia ramai penyokong.
Cuma saya harapkan kalau Puan M membaca curhat ini, Puan M jangan bersikap berlebihan dalam group tu ibarat mencari perhatian.
Haruslah dia ingat dalam 1,000 orang ahli di dalam group itu, pasti mempunyai perangai dan pandangan berlainan jadi janganlah terlalu berharap untuk disukai ramai orang. Saya harap dia juga dapat mengawal diri dan bersikap matang, jaga pertuturan dan bersopan santun.
Cuma insan biasa yang pendiam
NASIHAT DANG MP
Memahami rasa tidak selesa dengan perangai seseorang dalam satu kumpulan boleh menjadi situasi yang mencabar. Berikut adalah beberapa nasihat yang mungkin membantu, jika awda memutuskan untuk menyuarakan perasaan awda:
1. Fokus pada objektif kumpulan: Ingatkan tentang objektif utama group WhatsApp, iaitu berkongsi maklumat berkaitan lalu lintas semasa. Jika terdapat kelakuan yang melampau atau tidak relevan, tegaskan bahawa semua ahli seharusnya memberikan sumbangan yang positif dan berkaitan.
2. Beri contoh positif: Awda boleh memberikan contoh sikap yang positif dalam group tersebut, fokus pada perkongsian yang bermanfaat dan berikan sokongan kepada ahli yang lain. Ini mungkin memberikan inspirasi kepada ahli yang lain untuk mengikuti tauladan yang baik.
3. Jaga batas: Ingatkan tentang pentingnya menjaga privasi individu. Jika awda rasa tertekan dengan perkongsian peribadi yang terlalu mendalam, tekankan kepentingan untuk menjaga batas privasi.
4. Tunjukkan kematangan: Dalam setiap perbualan, tunjukkan kematangan dan sikap yang positif. Hindari perbahasan yang tidak perlu atau konfrontasi yang boleh merencatkan suasana dalam grup tersebut.
5. Abaikan: Jika usaha awda untuk memberikan nasihat tidak berkesan atau jika awda tidak mahu terlibat dalam perbualan yang tidak perlu, pertimbangkan untuk terus fokus pada maklumat yang bermanfaat. Ingat, setiap orang mempunyai cara berbeza dalam menerima nasihat. Usahakan untuk menyuarakan perasaan awda secara berhemah, positif dan bijaksana selaras dengan ajaran Islam yang sering menggalakkan kita untuk sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.