Wednesday, April 16, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sudut Penerbitan bukti hubungan erat Oman, Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Sudut Penerbitan Oman telah dirasmikan di Perpustakaan Islam Brunei Darussalam, Pejabat Mufti Kerajaan dalam satu majlis perasmian pada 15 April lalu untuk menandakan sebuah mercu tanda signifikan dalam ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman Ke-40.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Kesultanan Oman di Negara Brunei Darussalam, di sini, perasmian sudut berkenaan menggariskan hubungan kebudayaan dan akademik yang semakin mendalam di antara kedua-dua buah negara.

    Sudut penerbitan berkenaan mengetengahkan lebih 500 buah buku yang menonjolkan kekayaan warisan Kesultanan Oman dalam bidan sejarah, geografi, kebudayaan, kesusasteraan dan tradisi. Ia juga termasuk hasil kerja akademik dalam pengajian Bahasa Arab, perundangan Islam dan disiplin Islam yang lain sekali gus menjadi sumber yang berharga bagi penyelidik, pelajar dan orang ramai.

    Duta Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Erma Said Al Kathiry menekankan pentingnya Sudut Penerbit Oman sebagai simbol kepada persahabatan berkekalan dan sekian lama antara Kesultanan Oman dan Brunei dan mencerminkan hubungan yang kukuh dan berkekalan di antara kedua-dua buah negara yang berkongsi nilai-nilai bersama iaitu hormat-menghormati, harmoni dan saling menyokong.

    Sudut Penerbitan Oman, tambahnya, adalah lebih daripada hanya sebuah koleksi buku, ia melambangkan jambatan hubungan pertukaran kebudayaan dan ilmu pengetahuan, menawarkan peluang yang unik bagi masyarakat Oman dan Brunei untuk meneroka serta belajar daripada sejarah, tradisi dan usaha intelektual satu sama lain.

    Sementara itu, Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Din @ Maidin merakamkan penghargaannya terhadap usaha berkenaan dan amat berbesar hati untuk menghoskan Sudut Penerbitan Oman di Perpustakaan Islamnya.

    “Inisiatif ini memperkayakan landskap intelektual dan budaya kami, menyediakan akses kepada sumbangan ilmiah Oman. Ia mencerminkan dedikasi kita bersama untuk memajukan pendidikan Islam dan memupuk dialog silang budaya,” ulasnya.

    Sudut Penerbitan Oman sebelum ini juga ada ditubuhkan di institusi-institusi akademik Brune yang lain oleh Kedutaan berkenaan.

    Inisiatif itu secara kolektif menggariskan peranan Kesultanan Oman sebagai menyokong penyebaran pengetahuan dan dialog silang budaya serta mencerminkan pertalian budaya yang mendalam serta warisan bersama antara Oman dan Brunei.

    Atas & Bawah: Puan Yang Terutama Erma Said Al Kathiry dan Dato Seri Setia Dr Haji Japar di perasmian sudut berkenaan.

    Sudut Penerbitan Oman yang dirasmikan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KEDUTAAN OMAN DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda