KUCHING, 9 SEPT – Peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dipinda agar lebih menyeluruh serta meliputi elemen media sosial, kata Yang Dipertua DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.
Beliau berkata ia susulan kenyataan dikeluarkan ahli-ahli dewan di platform media sosial yang mengkritik keputusan Speaker, tidak termaktub dalam mana-mana peraturan mesyuarat.
“Jadi ini merupakan fenomena baharu. Jadi kita perlu bincang bersama semua Speaker dan mendengar pendapat mereka, semuanya untuk meningkatkan demokrasi berparlimen,” katanya.
Mohamad Asfia berkata, demikian dalam sidang media mengenai Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024 di Bangunan DUN hari ini.
Beliau berkata isu melibatkan institusi perundangan itu menjadi antara inti pati perbincangan pada persidangan yang bakal berlangsung Khamis dan Jumaat ini di sebuah hotel di Kuching. – Bernama