LONDON, 7 JUN – Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris akan mencuba dua bentuk sistem had perbelanjaan baharu mulai musim depan, kata liga itu kelmarin.
Pasukan dalam divisyen teratas England akan menguji sistem Squad Cost Rules, yang akan mengehadkan perbelanjaan terhadap pemain hingga 85 peratus daripada pendapatan bola sepak dan keuntungan atau kerugian bersih daripada jualan pemain sesebuah kelab.
Sistem kedua yang dipanggil Top to Bottom Anchoring mengehadkan perbelanjaan kepada gandaan jumlah wang hadiah terendah dan wang tunai daripada hak siaran TV yang dijangka akan diperoleh daripada pasukan.
Liga tersebut menyatakan bahawa sistem itu bertujuan untuk ‘meningkatkan dan memelihara kelestarian kewangan kelab serta keseimbangan persaingan dalam Liga Perdana’, dan juga ‘menggalakkan aspirasi kelab’.
Sistem kawal selia kewangan semasa liga iaitu Profitability and Sustainability Rules (PSR), akan kekal digunakan sementara alternatif ini sedang diuji.
Di bawah peraturan PSR, yang membenarkan kelab mengalami kerugian sehingga AS$134 juta dalam tempoh tiga tahun, Everton dan Nottingham Forest telah dikenakan potongan mata pada musim lalu. – AP








