Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Bagi meraikan Perayaan Bunga Bathukamma, kaum wanita komuniti Telugu di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan sambutan penuh warna-warni dan tradisi di perkarangan Suruhanjaya Tinggi India, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan budaya dan kerohanian perayaan Bathukamma yang melambangkan kesetiaan, perpaduan serta penghormatan terhadap alam semula jadi.
Perayaan tradisional India ini juga merupakan simbol doa untuk kesejahteraan dan panjang umur anak perempuan serta wanita.
Kaum wanita Telugu yang mengenakan sari sutera tradisional berwarna-warni telah menghiasi susunan bunga Bathukamma sambil mempersembahkan nyanyian dan tarian keagamaan, mewujudkan suasana yang meriah dan penuh penghayatan. Sambutan tersebut turut menarik kehadiran penduduk tempatan yang berpeluang menyaksikan keunikan budaya dan tradisi masyarakat India.
Turut hadir ialah isteri Pesuruhjaya Tinggi India, Pushpa Abbagani; Presiden Persatuan Telugu, S.V. Rao; Bendahari Persatuan India Bandar Seri Begawan, Suresh Borigam; serta pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi India bersama ahli-ahli komuniti India.
Majlis berkenaan diakhiri dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian tradisional yang melambangkan semangat perpaduan serta kegembiraan dalam kalangan masyarakat pelbagai budaya di Brunei.



