KUALA LUMPUR, 5 FEB – Perayaan Thaipusam kembali meriah di seluruh negara selepas dua tahun ia disambut secara sederhana, akibat pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.
Kemeriahan dirasai di lokasi utama sambutan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini, dengan penganut beragama Hindu kembali berarak membawa kavadi untuk dipersembahkan kepada Dewa Murugan, selain menjunjung Paal Kudam, iaitu tabung susu.Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar ketika ditemui di kuil berkenaan, menasihatkan penganut Hindu dan pelancong supaya sentiasa berhati-hati dengan penularan COVID-19, selain menjaga kebersihan terutama di perkarangan kuil.
“Bagi tahap keselamatan saya perhatikan keadaan di sini adalah cukup baik. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Thaipusam bagi tahun 2023 kepada semua penganut Hindu di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sambutan hari Thaipusam di sini.
Di Selangor, dianggarkan 150,000 penganut Hindu hadir ke Kuil Sri Subramaniar Swamy di Kuala Selangor sejak semalam, dengan pengerusi kuil tersebut P. Kannathasan berkata jumlah tersebut bertambah 30 peratus, berbanding dalam tempoh tiga tahun lepas. – Bernama