Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbadanan TAIB anjur rumah terbuka

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya merangkumi Perbadanan TAIB, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), mengadakan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Majlis sambutan berkenaan menyaksikan kehadiran lebih 1,500 tetamu daripada pelbagai sektor.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam kapasitinya sebagai Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Muhammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dalam kapasitinya sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB.

    Turut hadir pada majlis itu ialah menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Kor Diplomatik, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, ahli-ahli jawatankuasa penasihat syariah, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan badan-badan berkanun sektor swasta, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, institusi kewangan, pegawai-pegawai akademik, organisasi bukan kerajaan, klien, rakan-rakan kongsi, perusahaan kecil dan sederhana serta individu-individu.

    Kehadiran para tetamu jemputan telah dialu-alukan oleh pihak pengurusan kumpulan syarikat termasuk Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim; Pengarah Urusan DHSB, Haji Mahmud bin Haji Mohamed; dan Pemangku Pengarah Urusan IITHSB, Dayang Zamzaipa binti Haji Ismail.

    Sambutan Hari Raya berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya untuk mengukuhkan hubungan dengan pihak-pihak berkepentingan sambil memupuk semangat perpaduan, penghargaan dan kebersamaan.

    Ia menjadi sebuah platform untuk menyampaikan penghargaan kepada mereka yang telah menyokong serta menyumbang kepada pencapaian dan perkembangan berterusan kumpulan itu.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi dan Pengiran Dato Seri Paduka Haji Muhammad Tashim hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Pengarah Urusan DHSB dan Pemangku Pengarah Urusan IITHSB bergambar ramai bersama tetamu yang hadir pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda