Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd, petang tadi mengadakan Majlis Bertahlil dan Membaca Surah Yasin khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim bertempat di Kubah Makam Diraja.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua selaku Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, diikuti dengan Tahlil dan Doa Arwah yang diketuai oleh Pegawai Khas Hal Ehwal Masjid, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.
Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Muhammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Penolong Mufti Negeri (‘Ifta) dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB, Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah, bersama dengan ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Penasihat Syariah serta pegawai-pegawai lelaki dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya.
