Wednesday, July 16, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbadanan TAIB hargai kakitangan

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) dan syarikat-syarikat di bawahnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd, malam tadi, telah mengadakan Majlis Makan Malam dan Majlis Penghargaan bagi kakitangannya di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

    Majlis dihadiri oleh Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB bersama isteri.

    Turut hadir ialah Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Salim bin Haji Besar, ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah TAIB, Dato Paduka Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa majlis yang diadakan setiap tahun itu merupakan antara agenda berterusan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada semua lapisan pegawai dan kakitangan yang bertugas di Perbadanan TAIB atas usaha gigih, kerjasama, iltizam serta sokongan berterusan yang telah dicurahkan dalam memajukan dan memperkembangkan organisasi yang telah melewati usia suku abad yang dibanggakan.

    Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai ekonomi global yang telah mengalami pemulihan secara meluas sejak 2010.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyampaikan pengiktirafan dan penghargaan kepada salah seorang daripada kakitangan Perbadanan TAIB yang telah berkhidmat selama 25 tahun.
    Perbadanan TAIB dan syarikat-syarikat di bawahnya mengadakan Majlis Makan Malam dan Majlis Penghargaan bagi ahli kakitangannya kelmarin.

    “Menurut laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam World Economic Outlook (WEO), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global meningkat pada kadar 3.6 peratus berbanding 3.2 peratus pada 2016.

    “Momentum pemulihan ini dijangka akan terus mencatatkan pertumbuhan pada 2018 hingga 2019 iaitu pada kadar 3.9 peratus bagi kedua-dua tahun tersebut,” tambah beliau.

    Katanya lagi, prospek ekonomi tempatan bagi 2017 hingga 2021 juga dijangkakan positif dengan sokongan inisiatif-inisiatif kerajaan semasa untuk mensimulasikan sektor selain minyak dan gas yang  setentunya akan memberi peluang baru kepada badan-badan atau peniaga korporat dan perbankan.

    “Memanfaatkan peluang daripada inisiatif kerajaan dalam mempelbagaikan ekonomi perlu direbut dan TAIB, dari itu, hendaklah mengatur strategi dan menyusun langkah untuk mendapat faedah daripadanya”.

    Walau bagaimanapun, tekan beliau lagi, tidak dinafikan bahawa TAIB perlu menempuhi pelbagai cabaran bagi memanfaatkan perkembangan ekonomi ini dan antaranya adalah kekurangan tenaga kerja yang mahir dalam bidang perbankan.

    “Difahamkan sistem perbankan Negara Brunei Darussalam dijangka akan mengalami peningkatan dari segi jumlah aset pada kadar 7.4 peratus setahun, hasil ketetapan dari perkembangan ekonomi secara keseluruhan dan pelan-pelan strategik untuk mempelbagaikan ekonomi.”

    Menyentuh mengenai Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin berkata, dengan sokongan yang berterusan daripada para pelanggan, pada 2017, Perbadanan TAIB telah mencapai keuntungan bersih melebihi 4.2 peratus daripada peruntukan belanjawan 2017.

    Kadar Hibah 2017 yang telah dibayar kepada pendeposit juga telah dapat dikekalkan sama seperti kadar pada 2016 iaitu berkisar daripada 0.20 peratus hingga 1.75 peratus.  Kadar hibah ini, beliau mengambil maklum, adalah tertinggi di pasaran bagi akaun berbentuk simpanan tanpa had pengeluaran.

    Pada 2017 juga, melalui perkhidmatan Zakat Simpanan, Perbadanan TAIB telah berjaya mengumpulkan lebih daripada $3.87 juta hasil daripada kutipan zakat para pendepositnya yang telah diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada 24 Mei lalu.

    Mengambil maklum mengenai perkembangan semasa yang menjadi tumpuan utama perbankan global seperti ke arah pendigitalan perkhidmatan, keselamatan siber dan block chain, Yang Berhormat Pehin berkata, ketiga-tiga ini akan memberi transformasi yang radikal kepada perbankan.

    Oleh yang demikian, beliau dan ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB berpendapat, Jabatan Sumber Tenaga Manusia TAIB hendaklah memperkasakan peranan dalam membentuk sesebuah organisasi yang sentiasa siap siaga khususnya melalui program pembangunan dan latihan-latihan tertentu bagi menghadapi transformasi sama ada dalam usaha perbadanan menubuhkan sebuah bank Islam atau untuk menghadapi evolusi perbankan yang telah dikenal pasti.

    Menurut kenyataan yang diberikan, majlis tersebut adalah sebagai penghormatan kepada kakitangan Perbadanan TAIB dan syarikat-syarikat di bawahnya atas dedikasi, komitmen dan sumbangan kepada perkembangan dan kejayaan selama lebih 25 tahun ia ditubuhkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda