Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Bersempena dengan ulang tahun penubuhannya yang ke-28, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) telah mengadakan Majlis Sembahyang Hajat berjemaah dan Doa Kesyukuran di Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal, Tutong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan di bawahnya, ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah serta kakitangan Perbadanan TAIB, Insurans Islam TAIB Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd. Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Maghrib dan sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Ar-Rahim, Haji Hasmali bin Haji Talip diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran.
Sejurus selepas Sembahyang fardu Isyak berjemaah, majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan ‘Sumbangsih Dana Amal Maslahat Umum Perbadanan TAIB’ kepada masjid berkenaan.
Sumbangan berupa sebuah kereta jenazah, set generator dan kelengkapan mengurus jenazah itu telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB kepada imam Masjid Ar-Rahim.

