Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-32 tahun, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Sembahyang Sunat Hajat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir selaku tetamu-tetamu khas ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Amin Liew bin Abdullah selaku Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Muhammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB; Penolong Mufti (‘Ifta), Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB; ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB, serta pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya iaitu Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd serta jemaah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
Acara diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Pekerja Hebat, Gaji Berkat’ yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Profesor Dr Ustaz Haji Abdul Somad Batubara.
Ulang tahun Perbadanan TAIB disambut sempena memperingati pelancaran rasmi organisasi itu pada 29 September 1991. Pada masa penubuhannya, Perbadanan TAIB merupakan peneraju dalam kalangan institusi kewangan di Brunei, yang pertama menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan selaras dengan prinsip-prinsip Islam.