Perbadanan TAIB sambut ulang tahun ke-30

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Sempena sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-30, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran secara dalam talian melalui Microsoft Teams.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan TAIB, majlis berkenaan diadakan untuk memohon keberkatan dan perlindungan daripada Allah SWT melalui bacaan ayat Al-Quran dan doa-doa. Majlis yang disertai oleh kira-kira 600 warga Perbadanan TAIB dan anak syarikatnya melalui sidang video itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan bacaan Surah Yassin, Doa Kesyukuran dan doa agar negara bebas daripada sebarang musibah termasuklah COVID-19.

Hadir pada majlis berkenaan adalah, Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB; Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, ahli-ahli lembaga pengarah dan jawatankuasa penasihat syariah serta pengurusan, pegawai-pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak syarikatnya.

Perbadanan TAIB dirasmikan pada 29 September 1991 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Brunei Darussalam. Pelancarannya telah menandakan permulaan baharu bagi Negara Brunei Darussalam kerana TAIB adalah yang pertama menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan menurut undang-undang Islam.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri majlis Doa Kesyukuran sempena sambutan ulang tahun penubuhan ke-30 Perbadanan TAIB secara dalam talian, kelmarin. – Gambar serahan TAIB