Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) menyambut ulang tahun penubuhannya ke-34 dalam Majlis Makan Malam Tahunan yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.
Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Muhammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB; Penolong Mufti (‘Ifta), Dato Seri Setia Dr Haji Dennie bin Haji Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB; ahli-ahli Lembaga Pengarah; ahli-ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah; pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan Anak-anak Syarikat, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Darussalam Holdings Sdn Bhd and TAIB Filing Station Sdn Bhd.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, di mana beliau menzahirkan rasa syukur atas pencapaian Perbadanan TAIB sebagai institusi kewangan Islam yang mampan dan seiring dengan Maqasid Syariah, dengan pertumbuhan positif dalam aset, keyakinan pelanggan serta kejayaan pelaksanaan transformasi digital.
Majlis diteruskan dengan ucapan khas disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi, yang menyentuh tentang perjalanan dan komitmen berterusan Perbadanan TAIB dalam memperkukuh perkhidmatan kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam.
Acara diteruskan dengan upacara memotong kek ulang tahun ke-34, diikuti jamuan makan malam dan penyampaian anugerah kepada juara Sukan Antara Rumah-rumah TGOC 2025, meraikan semangat kesukanan dan kerjasama warga kerja.


