Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Dalam usaha bersama untuk mendukung pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam situasi wabak COVID-19, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) melalui inisiatif Dart Food telah menyumbangkan makanan kepada keluarga kurang berkemampuan di Daerah Brunei dan Muara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Sehubungan dengan itu, sumbangan berjumlah $3,500 telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Haji Osman bin Haji Mohd Jair kepada Pengurus Pembangunan Perniagaan Dart, Awang Nabil bin Ibrahim dalam majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Pejabat Pengurusan Korporat Perbadanan TAIB, Airport Mall, Berakas, hari ini.
Bantuan berkenaan menyediakan makanan tengah hari dan makanan setiap hari untuk 45 orang daripada enam buah keluarga mengikut pelan makan mingguan yang disediakan oleh Royal Brunei Culinary.
Inisiatif berkenaan menggunakan penghantaran makanan tanpa sentuh yang dijalankan oleh pemandu Dart yang telah menerima vaksin lengkap.
