Monday, October 21, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbadanan TAIB terima anugerah berprestij

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) telah menerima Anugerah Payment Initiatives of the Year daripada pertubuhan Perbankan dan Kewangan Asia (ABF) dalam upacara ABF, Corporate & Investment Banking Awards 2024 yang telah diadakan di Singapura, baru-baru ini.

    Anugerah tersebut mengiktiraf usaha-usaha inovatif Perbadanan TAIB dalam merevolusikan pembayaran digital di Negara Brunei Darussalam melalui sistem perbankan mudah alih TAIB Virtual Experience (TAIBVX).

    Perbadanan TAIB dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini telah mengongsikan pencapaian satu matlamat signifikan dalam melancarkan perkhidmatan-perkhidmatan pembayaran digital yang transformatif pada tahun 2023, dan ini termasuk External Payment Interface (EPI) dan Scan-to-Pay (STP).

    Perkhidmatan-perkhidmatan baharu itu telah berjaya mengubah corak pembayaran digital Brunei bagi individu dan para peniaga dengan lebih memudahcarakan kesenangan penggunaan, menambah keselamatan serta membuka akses kepada pembayaran digital.

    Dengan pelancaran perkhidmatan EPI pada 13 November 2023, Perbadanan TAIB telah menjadi institusi kewangan yang pertama di Negara Brunei Darussalam yang menawarkan laluan pembayaran digital yang lebih lancar secara langsung antara akaun-ke-akaun.

    Perbadanan TAIB telah menerima Anugerah Payment Initiatives of the Year dalam upacara ABF, Corporate & Investment Banking Awards 2024 yang diadakan di Singapura, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PERBADANAN TAIB

    Inovasi itu telah membolehkan para peniaga untuk mengintegrasikan sistem TAIBVX ke dalam platform e-dagang mereka melalui sebuah Application Programming Interface (API), iaitu aplikasi digital yang amat menyenangkan pengalaman penggunanya.

    Rakan kongsi niaga utama seperti MyDST sudah mula memakai perkhidmatan tersebut yang menunjukkan keberkesanan dan kerjasama yang dipertingkatkan melalui inisiatif tersebut.

    Perkhidmatan STP pula merupakan kemudahan pembayaran melalui kod QR di dalam TAIBVX yang membolehkan pembayaran langsung daripada akaun pelanggan-pelanggan, yang mana perkhidmatan ini sudah digunapakai secara meluas oleh pelbagai sektor perniagaan termasuk takaful, perkhidmatan pelancongan, dompet digital, restoran-restoran dan usaha-usaha pembayaran amal agensi kerajaan.

    Komitmen teguh Perbadanan TAIB di dalam membentuk dan membangunkan ekosistem pembayaran masa sebenar di Negara Brunei Darussalam amat nyata dengan peranan utama Perbadanan TAIB di dalam skim pembayaran National Digital Payments Network (NDPX) yang akan datang tidak lama lagi.

    Skim tersebut merupakan usahasama di antara NDPX, institusi-institusi kewangan tempatan dan para pengendali sistem pembayaran digital.

    Kedudukan Perbadanan TAIB selaku salah sebuah rakan kongsi dan pemegang kepentingan utama dalam inisiatif hab pembayaran itu adalah selaras dengan aspirasi kewangan digital kebangsaan yang terpapar di dalam Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

    Ia mengutamakan dan memudahcarakan transaksi kewangan tanpa tunai, mengurangkan penggunaan wang tunai dan menjana penggunaan pembayaran digital di seluruh negara.

    Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim, menyatakan Perbadanan TAIB amat terharu menerima anugerah Payment Initiative of the Year.

    “Anugerah tersebut mengiktiraf usaha-usaha gigih untuk menjana inovasi dan menawarkan pilihan pembayaran digital yang canggih kepada para pelanggan,” katanya.

    Perbadanan TAIB akan terus berpegang teguh kepada komitmen untuk memajukan ekonomi digital Negara Brunei Darussalam serta menaiktarafkan akses kewangan digital yang lebih mudah dan selamat bagi segenap lapisan masyarakat.

    Anugerah tersebut turut menggariskan dedikasi Perbadanan TAIB dalam memanfaatkan kecanggihan teknologi digital bagi kebaikan para pelanggan dan ekonomi kebangsaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda