Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB), telah menubuhkan Kumpulan Sukarelawan Kemanusiaan Perbadanan TAIB (KSKPT) dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei Darussalam (PBSM) pada majlis yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan KSKPT itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof atas kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB.
Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin memuji Perbadanan TAIB atas inisiatif proaktif dalam menubuhkan kumpulan sukarelawan khusus untuk menyumbang kepada tujuan kemanusiaan.
Turut hadir, ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB, ahli-ahli Majlis Kebangsaan PBSM, lembaga pengelola dan jawatankuasa eksekutif kebangsaan dan pegawai kanan Kumpulan Syarikat Perbadanan TAIB.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video yang mempamerkan penglibatan sukarelawan kumpulan dengan PBSM Brunei Darussalam dan sejurus pelancaran, Presiden PBSM menyampaikan kepada tetamu kehormat Plak Rasmi KSKPT.
KSKPT terdiri daripada 91 orang ahli yang berdedikasi, menjadi contoh kepada komitmen Perbadanan TAIB terhadap tanggungjawab sosial dan kebajikan masyarakat.
Melalui kerjasama itu, kumpulan tersebut akan memastikan aktiviti dilaksanakan dengan baik, memberikan kesan kepada mereka yang lebih memerlukan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil keahlian kepada ahli sukarelawan yang berdedikasi dan penyampaian sijil pertolongan cemas PBSM dan sijil penghargaan.
Penubuhan persatuan sukarelawan itu menandakan lembaran baharu komitmen Perbadanan TAIB terhadap tujuan kemanusiaan.



