Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Masa begitu pantas berlalu, sedar atau tidak kita telah berada di penghujung tahun dan dalam beberapa hari sahaja lagi tahun 2024 melabuhkan tirai dan bakal meninggalkan kita semua.
“Kita bersyukur kerana dapat menikmati kehidupan yang aman, damai dan makmur di bumi Darussalam, dan berharap di tahun baharu bakal menjelang nanti, segala nikmat keamanan, kedamaian dan kemakmuran ini berterusan dapat dinikmati di tahun 2025,” kata khatib dalam khutbah Jumaat hari ini bertajuk ‘Menjelang Tahun Baharu 2025’.
Menurutnya lagi, hidup dalam aman dan damai itu merupakan harapan kita bukan sahaja di sini, tapi untuk seluruh warga dunia di mana sahaja semoga sama-sama dapat mencapai erti kebahagiaan yang sebenarnya.
“Maka untuk itu, marilah kita sama-sama merafakkan rasa syukur dan doa ke hadrat Allah, agar nikmat kurnia Allah akan sentiasa berkekalan.
“Ingatlah, sekiranya kita lalai dan leka atau tidak mensyukuri nikmat kurniaan Allah, tidak mustahil nikmat akan hilang pada bila-bila masa sahaja kerana semua nikmat yang dimiliki hanyalah pinjaman semata-mata,” tekannya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap penghujung tahun merupakan waktu yang amat sesuai bagi semua untuk muhasabah iaitu menilai dan memperbaiki akan kesilapan dan apa juga kekurangan diri sendiri.
Beliau turut mengongsi dalam hadis Rasulullah SAW di mana Baginda menyifatkan orang yang sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri itu sebagai orang yang bijak.
“Kita selaku hamba Allah SWT, dituntut untuk bermuhasabah sama ada kita telah menyempurnakan dan menunaikan segala kewajipan yang telah diperintahkan Allah ke atas kita. Ini termasuk menilai kesungguhan kita dalam mentaati segala perintah dan larangan Allah seperti mendirikan sembahyang fardu lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa, menjauhi perbuatan mungkar seperti zina, riba, rasuah dan seumpamanya,”
tegasnya.
Di samping itu, katanya, kita hendaklah menyemak atau memeriksa sama ada kita telah berhasil atau sebaliknya dalam melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Setelah muhasabah, tugas dan tanggungjawab itu adalah pada tahap yang baik, berusahalah menuju ke arah dan tahap yang lebih baik lagi.
Sebaliknya, setelah bermuhasabah jika merasakan masih terdapat kekurangan dan kelemahan, hendaklah memperbaiki kekurangan dan kelemahan tersebut.
Oleh kerana sifat manusia mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu kepada peringatan, maka kita hendaklah sentiasa bermuhasabah.
Ini kerana, tekannya lagi, jika kelemahan dan kekurangan ini dibiarkan sudah tentu akan menyukarkan untuk melihat dan menilai kelemahan diri sendiri dan lebih cenderung untuk menilai kelemahan dan keburukan orang lain.
Apabila datang tahun baharu, ia sering dikaitkan dengan semangat dan azam baharu, mempunyai azam merupakan suatu perkara yang mesti ada pada diri seseorang kerana ia merupakan satu motivasi dan pendorong untuk melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan dengan lebih bersungguh-sungguh.
Khatib juga mengingatkan kepada semua umat Islam untuk menanamkan azam yang jitu dan berusaha yang bersungguh-sungguh agar dapat mencapai dan memperoleh apa yang dihajati.
“Semoga tahun 2025 yang bakal menjelang ini akan mendorong untuk lebih berjaya meneroka perubahan yang bermakna, baik bagi diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara,” ujarnya.
Di samping itu, khatib menyeru untuk bermuhasabah dan menanamkan azam bagi meningkatkan iman untuk sentiasa melakukan perubahan agar menjadi Muslim yang lebih baik dan dengan itu, Allah SWT akan sentiasa memelihara rahmat kepada semua dan menjadikan Negara Brunei Darussalam kekal aman, damai, makmur dan sejahtera di bawah perlindungan Allah SWT.