Saya bukanlah pengembara yang kerap melepasi sempadan negara, namun dalam sebulan adalah dalam sekali dua menyeberangi sempadan di Sungai Tujoh.
Namun, semenjak pembukaan sempadan baru-baru ini, terdapat beberapa perkara yang saya kira perlu diperbaiki oleh pihak relevan di sana.
Sementelah lagi, ia merupakan pintu masuk utama ke negara ini dan menjadi first impression bagi orang yang pertama kali berkunjung ke sini.
Antara yang saya perhatikan dan boleh diperbaiki termasuklah barisan kenderaan sama ada masuk dan keluar yang sering panjang dan mengambil masa antara 45 minit hingga dua jam atau lebih untuk melepasi kastam dan imigresen. Perkara ini saya perhatikan bermula daripada pembukaan sempadan selepas COVID lagi dan belum dapat diatasi.
Perkara kedua ialah keadaan kemudahan seperti tandas yang agak mendaifkan. Bukan saja kenderaan berbaris panjang, malahan orang ramai yang ingin membuang hajat juga ‘memanjang saja barisannya’ terutama di bahagian keluar.
Ini kerana hanya satu daripada tiga tandas yang berfungsi dengan baik, yang lainnya sama ada pintu tidak boleh ditutup, air melimpah, mangkuk tandas yang melimpah dengan kotoran dan sebagainya.
Manakala ketika masuk dari Miri ke pos kawalan Brunei pula, sepanjang jalan kelihatan rumputnya panjang menjela seperti tidak pernah dipotong sahaja sehinggakan tanda jarak pun tidak lagi kelihatan.
Di stesen minyak berhampiran pula, dahulunya terdapat deretan tandas di dalamnya yang berbayar dan memudahkan orang ramai yang enggan menggunakan tandas di sempadan, namun kini sudah tiada lagi.
Ia dipindahkan ke sebuah bangunan di luar dan hanya ada sebuah tandas yang juga boleh membuatkan orang ramai berbaris panjang. Mungkin pihak berkenaan boleh menambah dan mengenakan caj yang berpatutan seperti sebelumnya.
Rasanya orang ramai tidak kesah membayar sekadar 20 hingga 50 sen untuk perkhidmatan tandas yang baik.
Diharap dalam perjalanan seterusnya saya akan dapat melihat perubahan di sana.
Perayau sempadan