PORTRUSH, 21 JULAI – Scottie Scheffler menolak perbandingan pencapaiannya dalam sukan golf dengan era kemuncak Tiger Woods sebagai sesuatu yang ‘tidak masuk akal’ selepas mengungguli Kejohanan Terbuka British pertamanya, kelmarin.
Pemain nombor satu dunia itu kini mengumpul empat kejuaraan utama, tiga daripadanya diperoleh dalam tempoh dua tahun terakhir, dan hanya kekurangan gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS) untuk melengkapkan karier Grand Slam.
Rory McIlroy menyifatkan dominasi Scheffler sejak dua tahun lalu yang turut merangkumi 10 kemenangan di Jelajah PGA dan pingat emas Olimpik hanya mampu disaingi oleh dua atau tiga pemain sahaja dalam sejarah sukan golf.
Namun, Scheffler sendiri mengakui masih jauh lagi untuk menyamai pencapaian Tiger Woods yang memenangi 15 kejohanan utama sepanjang kariernya.
“Saya rasa perbandingan itu agak tidak masuk akal. Tiger menang berapa, 15 kejuaraan utama? Ini baru keempat saya. Saya baru suku jalan ke sana,” kata Scheffler selepas menjulang Claret Jug.

“Tiger adalah legenda tersendiri dalam dunia golf. Beliau banyak memberi inspirasi kepada saya ketika membesar. Dia seorang yang sangat berbakat dan istimewa kerana mampu menjadi sehebat itu dalam sukan ini.”
Scheffler memulakan minggu di Royal Portrush dengan mengejutkan wartawan apabila menyatakan kehidupannya ‘bukan kehidupan yang memuaskan’ walaupun berada di kemuncak sukan golf.
Beliau menyambut kemenangan bergaya itu dengan kelebihan empat pukulan selepas mencatatkan 17 bawah par bersama isterinya Meredith dan anak lelaki mereka yang berusia setahun, Bennett.
Scheffler sekali lagi menegaskan bahawa kejayaan di padang golf bukanlah sesuatu yang mendefinisikan siapa dirinya secara keseluruhan. – AFP