Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Sebagai umat Islam kita sangat dituntut mengasihi dan mencintai Rasulullah SAW. Kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sahaja dituntut kepada orang-orang Islam yang mukalaf, malahan juga kepada kanak-kanak Islam yang masih kecil lagi.
Oleh yang demikian, kita hendaklah mendidik dan mengajar anak-anak kita untuk mencintai Rasulullah SAW di peringkat awal lagi. Apabila cinta terhadap Rasulullah SAW telah benar-benar subur dan hidup di dalam dada seseorang Muslim, maka akan wujudlah kepatuhan dan ketaatan kepada ajaran-ajaran serta perintah-perintah Baginda.
Perkara berkenaan telah ditekankan oleh khatib semasa menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk ‘Mencintai Rasulullah SAW dengan Memperbanyakkan Selawat’, hari ini, dan turut menambah jika kita mencintai Rasulullah SAW, setentunya kita banyak menyebut-nyebut Baginda iaitu dengan berselawat.
“Semakin banyak kita berselawat, semakin besar ganjaran yang bakal diterima, bukan sahaja di akhirat malahan juga di dunia ini,” ujarnya.
Khatib turut menyatakan sesungguhnya berselawat ke atas Baginda SAW adalah salah satu perintah Allah SWT. Selain ia sebagai mengingati segala jasa Baginda dalam memperjuangkan Islam serta keperibadiannya yang unggul.
Dalam pada itu, khatib antaranya menjelaskan antara kelebihan dan keutamaan yang boleh diperoleh daripada amalan berselawat ialah mendapat rahmat daripada Allah SWT, mendapat kebaikan, dihapuskan daripadanya dosa, dan diangkat darjatnya, serta mendapat syafaat Baginda pada hari kiamat kelak.
Antara kelebihan dan keutamaan mengamalkan selawat, tambah khatib ialah dijauhi daripada kerugian, penyesalan, dan akan tergolong ke dalam golongan orang-orang yang soleh, dan memperoleh pahala seperti pahala memerdekakan hamba.
Apabila seseorang membaca selawat sebanyak 100 kali maka Allah SWT akan melapangkan dadanya dan menerangkan hatinya. Begitu juga dengan berselawat itu akan menjadi sedekah bagi orang yang tidak mampu bersedekah. Bagi mereka yang mengamalkan membaca selawat itu juga menjadi penyebab doa seseorang itu diterima oleh Allah SWT; dan juga salah satu kelebihannya dapat melepaskan diri daripada keresahan dan kesusahan pada hari kiamat.
Khatib antaranya menjelaskan bahawa berselawat ke atas Rasulullah SAW akan mendidik diri, hati, akal dan jiwa kita untuk menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa bersyukur atas nikmat yang dikurniakan.
“Dengan berselawat juga akan melatih kita untuk sentiasa reda di atas segala ujian dan musibah yang dihadapi. Dengan cara ini, hati, jiwa dan akal akan menjadi tabah dan cekal untuk mengharungi kehidupan di dunia yang penuh dengan godaan dan cabaran.
“Maka luangkanlah masa untuk membasahi lidah dan hati dengan zikir dan lafaz mulia dan puji-pujian kepada Allah dan Baginda SAW. Amalan ini akan menjadikan hidup lebih indah dan bererti, jauh daripada merasa sempit, gundah gulana dan tertekan,” jelas khatib.
Beliau turut menyatakan beruntunglah umat Islam yang terus menerus mengamalkan selawat dan menghayati pada setiap masa dan ketika. Selawat juga adalah ibadah, ubat, penawar dan cahaya. Oleh yang demikian, sama-samalah kita sentiasa memperbanyakkan selawat kepada Baginda SAW, dan segeralah berselawat apabila nama Baginda disebut sebagai tanda cinta dan kasih kita kepada Baginda.