Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) sekali lagi menghoskan Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran bersama Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) yang diselajurkan dengan majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Surau, Pusat Belia, di sini, ialah Yang Di-Pertua PERBEKAL, Pengiran Nordin bin Pengiran Haji Mahmud yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah pada awal majlis.
Majlis kemudiannya diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh ahli-ahli PERBEKAL dan perwakilan MWNBD, manakala itu, takhtim dan Doa Khatam dibacakan oleh Dayang Messuri binti Musa.

Bacaan tahlil dan doanya pula diketuai oleh Haji Abu Bakar bin Haji Pungut selaku wakil PERBEKAL.
Majlis yang disertai lebih 30 orang ahli PERBEKAL dan MWNBD itu diharap dapat mendekatkan diri para peserta dengan Al-Quran serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara sesama saudara Islam.
Majlis diakhiri dengan penyampaian derma kepada 15 orang anak yatim daripada ahli-ahli PERBEKAL yang disempurnakan oleh Pengiran Nordin.