Oleh Yusrin Junaidi 0
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) baru-baru ini mengadakan Majlis Penutup Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW 1447 Hijrah/2025 Masihi, yang turut diselajurkan dengan penyerahan infak Jumaat.
Majlis diadakan di kediaman Penolong Setiausaha Agung PERBEKAL, Haji Abdullah bin Haji Ibrahim dan Timbalan Bendahari Agung, Hajah Mahani binti Abu Bakar, di Perpindahan Lambak Kanan.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan dikir dan doa yang dibimbing oleh Pengerusi Tetap, Haji Zakaria bin Haji Liman.
Acara kemuncak ialah penyampaian infak Jumaat berupa barangan asasi dan wang tunai kepada Dayang Tengah binti Bungsu, seorang balu yang masih menyara anak.
Penyampaian disempurnakan oleh Yang Di-Pertua PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran Haji Mahmud selaku tetamu kehormat.
Hadir sama, Timbalan Yang Di-Pertua, Pengiran Mahari bin Pengiran Haji Mohd Tahir dan Naib Yang Di-Pertua, Dayang Siti Seriana binti Haji Mohd Yusof. Majlis tersebut turut dihadiri lebih 40 orang ahli persatuan.
Program keagamaan berkenaan diadakan secara tetap setiap tahun sepanjang bulan Rabiulawal, yang dimulakan dari rumah ke rumah ahli persatuan.
Ia bertujuan menzahirkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping mengeratkan ikatan silaturahim sesama ahli menerusi bacaan selawat dan dikir.



