Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PERBEKAL anjur majlis tiga dalam satu sempena Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL), baru-baru ini, telah mengadakan majlis tiga dalam satu iaitu majlis khatam, penyampaian derma dan bersungkai yang dihadiri lebih kurang 100 orang termasuk ahli-ahli PERBEKAL serta 15 orang anak yatim bersama penjaga.

    Majlis berlangsung di kediaman Naib Yang Dipertua Persatuan PERBEKAL, Dayang Siti Seriana binti Haji Mohd Yusof merangkap Ketua Biro Wanita di Jerudong di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Dipertua PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran Haji Mahmud.

    Turut hadir ialah Ketua Kampung Lambak B, Pengiran Jofri bin Pengiran Haji Zaidi; Timbalan Yang Dipertua, Pengiran Mahari bin Pengiran Haji Mohd Tahir; dan Pemangku Ketua Kampung Mentiri, Haji Abu Bakar bin Haji Pungut. Majlis merupakan aktiviti tahunan apabila tibanya bulan Ramadan.

    Sementara itu, kelmarin, persatuan telah mengadakan Program Amal Jariah anjuran MPK Lambak B iaitu Berbagi-bagi di Bulan Ramadan.

    Program merupakan aktiviti sumbangan bubur kacang, cendol dan air mineral serta disusuli dengan penyampaian derma kepada seramai 11 orang anak yatim anjuran MPK berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengiran Jofri yang menyempurnakan penyampaian derma.

    Antara tujuannya adalah menyatupadukan dan mengeratkan lagi ikatan perpaduan dan kemesraan antara penduduk kampung dengan ahli MPK Lambak B melalui projek amal.

    Ahli-ahli PERBEKAL yang hadir pada majlis tersebut bergambar ramai. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda