Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PERBEKAL laksana program infaq bantu ibu tunggal

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Program Infaq Jumaat anjuran Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) telah diadakan pagi tadi dengan kunjungan ke Kampung Limau Manis bagi menyampaikan sumbangan kepada seorang ibu tunggal yang tidak bekerja, Dayang Rusiah binti Haji Piut yang menyara beberapa orang anak dan cucu.

    Program ini merupakan inisiatif tetap setiap minggu yang dikelolakan bersama oleh Biro Sosial Kemasyarakatan dan Biro Keugamaan PERBEKAL dengan tujuan menyalurkan bantuan dan menyantuni masyarakat yang memerlukan sebagai satu bentuk amal jariah berterusan.

    Selain menyampaikan barangan asasi dan sedekah wang tunai, kunjungan juga bertujuan mengukuhkan silaturahim dan jalinan persaudaraan dalam kalangan masyarakat.

    Majlis ringkas penyampaian sumbangan telah diadakan di Masjid Kampung Limau Manis, yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Haji Mohd Asdey Hazabullah bin Haji Md Zain.

    Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Kampung Limau Manis, Haji Muhaimin bin Haji Johari, Naib Yang Di-Pertua I PERBEKAL, Dayang Siti Seriana binti Haji Mohd Yusof selaku Pengerusi Biro dan Ahli Jawatankuasa dan ahli-ahli PERBEKAL.

    Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada Yang Di-Pertua PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran Haji Mahmud, yang merakamkan penghargaan atas sambutan mesra serta kerjasama yang diberikan oleh pihak kampung, khususnya Ketua Kampung dan Imam masjid.

    Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan dan seterusnya para hadirin menikmati jamuan ringan bersama-sama, mengakhiri majlis dalam suasana penuh keakraban dan keberkatan.

    Menurut Yang Di-Pertua PERBEKAL, program ini bukan sahaja membuka ruang kepada ahli-ahli untuk beramal dan mencari saham akhirat pada hari Jumaat yang mulia, tetapi juga sebagai satu bentuk kesedaran kolektif dalam menyantuni masyarakat yang sedang menghadapi cabaran kehidupan.

    Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada ahli-ahli PERBEKAL yang telah meluangkan masa serta menyumbangkan sedekah, dan mendoakan semoga segala usaha dan sumbangan yang diberikan akan diberkati serta diganjari pahala yang berlipat ganda oleh Allah SWT.

    Program Infaq Jumaat PERBEKAL dijangka akan diteruskan ke lokasi lain yang memerlukan pada minggu-minggu akan datang sebagai manifestasi keprihatinan dan kepedulian sosial dalam kalangan anggotanya.

    Gambar ramai semasa penyerahan sumbangan tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda