Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) telah mengambil peluang keemasan bulan Ramadan yang penuh rahmat ini untuk menjana pendapatan dengan menjual pelbagai barangan makanan juadah berbuka puasa, pakaian dan perhiasan di gerai Ramadan.
Gerai Ramadan anjuran Mukim Sengkurong di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong itu telah dirasmikan oleh Pemangku Penghulu Mukim Sengkurong, Dr Haji Abdullah Hanif bin OKMD Haji Saman, kelmarin.
Turut hadir semasa perasmian tersebut ialah Ketua Kampung Sengkurong B, Awang Abdul Razak bin Haji Ismail dan Ketua Kampung Jerudong B, Awang Abdul Kamis bin Panjang.
Selain PERBEKAL, beberapa buah kumpulan lain seperti Majlis Perundingan Kampung Sengkurong, syarikat swasta dan orang-orang persendirian turut mengambil bahagian dalam jualan Gerai Ramadan Mukim Sengkurong berkenaan.
Orang ramai adalah dialu-alukan hadir untuk memberi sokongan dengan mematuhi peraturan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
