BEIJING, 25 FEB – Beijing berkata hari ini perbelanjaan pertahanannya ‘amat diperlukan’ selepas Presiden Rusia Vladimir Putin menyokong cadangan rakan sejawatan Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa Rusia, AS dan China harus mengurangkan separuh belanjawan pertahanan mereka.
Rusia telah meningkatkan perbelanjaan ketenteraan secara besar-besaran sejak melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022, tetapi perbelanjaan juga meningkat di China dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila ketegangan berterusan dan semakin meningkatdi rantau Asia-Pasifik.
“China sentiasa berpegang teguh kepada prinsip penyelesaian aman,” kata jurucakap Kementerian Luar, Lin Jian, pada taklimat media.
“Perbelanjaan pertahanan yang terhad amat diperlukan untuk mempertahankan kedaulatan negara, kepentingan keselamatan dan pembangunan serta mengekalkan keamanan dunia,” katanya.
Lin menambah bahawa China sentiasa berazam dalam pembangunan ekonomi dan pertahanan yang diselaraskan dan tidak terlibat dalam persaingan senjata dengan mana-mana negara.
Komen itu datang sehari selepas panggilan telefon antara Presiden China, Xi Jinping dan Putin, di mana kedua-dua pemimpin membincangkan perang yang sedang berlaku di Ukraine.
Putin berkata kelmarin dalam temu bual di televisyen bahawa cadangan Trump untuk memotong 50 peratus belanjawan pertahanan bagi tiga buah negara adalah idea yang baik. – AFP
