Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 27 Jan – Jawatankuasa Takmir Masjid Muhammad Jamalul Alam telah meneruskan lagi Halaqah Zikir bagi pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, serta pegawai-pegawai masjid, ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah masjid-masjid Daerah Belait berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman dan Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu.
Majlis dimulakan dengan tazkirah tentang memperbetulkan niat bertugas sebagai satu ibadah bagi warga perkhidmatan awam yang telah disampaikan oleh Haji Asminan.
Beliau antara lain menyentuh sebuah hadis tentang peranan niat sendiri dan mengaitkan etika kerja perkhidmatan awam dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dalam pentadbiran dan pengurusan seharian.
Tazkirah tersebut dihasratkan sebagai peringatan dan satu ulang kaji dan dengan adanya tazkirah akan dapat memperbaiki niat untuk menjadikan setiap yang dilakukan bernilai Ibadah di sisi Allah S.W.T.



“Selain bekerja untuk mendapatkan gaji di setiap bulan, niat yang utama juga adalah untuk mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah Subhanahu Wata’ala,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan wakaf berupa Kain Kiswah (ayat) di atas kain kaabah, untuk diletakkan di masjid berkenaan yang telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Serikandi, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad kepada Haji Haris.
Majlis kemudian diteruskan dengan Sembahyang Sunat Doha dan Sunat Hajat seterusnya membaca Ratib Al-Attas yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait, Awang Akop bin Haji Lamat.
Majlis berkenaan diadakan bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan negara ini sebagai Negara Zikir.
Ia turut bertujuan untuk memberikan peluang menghayati tazkirah yang disampaikan selain melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T atas segala kurnia yang telah diberikan serta diberikan perlindungan setiap masa di samping dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan para pegawai dan kakitangan kerajaan.