Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbezaan syarat Jama’ Taqdim dengan Jama’ Ta’khir

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    MENJAMA‘ sembahyang adalah antara rukhshah iaitu keringanan yang diberikan kepada musafir bagi kemudahan mereka kerana pada kebiasaannya di dalam bermusafir akan menghadapi kesusahan dan keletihan di sepanjang pelayaran mereka.

    Menjama‘ sembahyang boleh dilakukan dengan dua cara iaitu boleh dilakukan secara taqdim atau ta’khir. Walaupun secara umumnya kedua-dua cara jama‘ ini adalah serupa yang bertujuan untuk menghimpun sembahyang, namun terdapat beberapa perbezaan dalam syarat-syarat masing-masing.

    Apa Jama‘ Taqdim dan Jama‘ Ta’khir itu?

    Jama‘ taqdim ialah menghimpunkan sembahyang fardhu Zuhur atau sembahyang fardhu Jumaat dengan sembahyang fardhu Asar dan dikerjakan di dalam waktu Zuhur atau menghimpunkan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu Isya dan dikerjakan di dalam waktu Maghrib.

    Jama‘ ta’khir pula ialah menghimpunkan sembahyang fardhu Zuhur dengan sembahyang fardhu Asar dan dikerjakan di dalam waktu Asar atau menghimpunkan sembahyang fardhu Maghrib dengan sembahyang fardhu Isya dan dikerjakan di dalam waktu Isya.

    Syarat-syarat mengharuskan melakukan Jama‘ sembahyang

    Seseorang yang dalam pelayaran yang ingin melakukan jama‘ sembahyang sama ada secara taqdim atau ta’khir, hendaklah memenuhi syarat-syarat tertentu, iaitu:

    1) Jarak perjalanannya ke tempat yang hendak ditujunya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah iaitu kira-kira 56 batu atau kira-kira 90 kilometer.

    2) Tujuan pelayarannya pada perkara yang diharuskan oleh syara‘ seperti menunaikan fardhu haji, umrah, urusan kerja, mengurus perniagaan, menziarahi sahabat handai dan seumpamanya.

    3) Mengetahui tempat yang hendak dituju.

    Perbezaan syarat-Syarat Jama‘ Taqdim dengan Jama‘ Ta’khir

    Seorang musafir yang ingin menjama’ atau menghimpunkan sembahyang-sembahyangnya sama ada secara taqdim atau ta’khir hendaklah mengetahui syarat-syarat menjama‘ sembahyang sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara‘.

    1) Niat untuk menjama‘ sembahyang

    Disyaratkan niat untuk menjama‘ kedua sembahyang (sembahyang Zuhur atau sembahyang Jumaat dengan sembahyang Asar atau sembahyang Maghrib dengan sembahyang Isya) sama ada jama‘ taqdim atau jama‘ ta’khir kerana ia adalah syarat sah jama‘ menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e.

    Berniat untuk menjama‘ kedua sembahyang secara jama‘ taqdim boleh dilakukan ketika takbiratul ihram pada sembahyang yang pertama (sembahyang Zuhur, sembahyang Jumaat atau sembahyang Maghrib), dan boleh juga niat dilakukan pada pertengahan sembahyang yang pertama sebelum selesai sembahyang yang pertama iaitu sebelum memberi salam atau seiring dengan selesai sembahyang yang pertama iaitu ketika memberi salam. Akan tetapi waktu yang lebih afdhal ialah berniat jama‘ ketika takbiratul ihram sembahyang yang pertama.

    Untuk menjama‘ sembahyang secara jama‘ ta’khir pula, wajib berniat jama‘ di dalam waktu sembahyang yang pertama. Umpamanya seorang musafir yang ingin menjama‘ ta’khir sembahyang fardhu Zuhur dengan sembahyang fardhu Asar, maka wajib dia berniat dalam waktu Zuhur untuk menjama‘ ta’khir kedua-dua sembahyang itu dan melakukan kedua-dua sembahyang tersebut dalam waktu Asar.

    Contoh niat jama‘ ta’khir yang dilakukan di dalam hati yang bermaksud : “Sahaja aku berniat mengakhirkan sembahyang fardhu Zuhur untuk aku mengerjakannya pada waktu Asar.”

    Berniat untuk menjama‘ kedua sembahyang pada waktu yang kedua hendaklah dilakukan sebelum habis waktu sembahyang yang pertama iaitu sekurang-kurangnya pada kadar waktu yang mencukupi untuk melakukan sembahyang.

    Sekiranya dia tidak berniat atau dia berniat jama‘ sembahyang pada waktu yang pertama pada kadar waktu yang tidak mencukupi untuknya melakukan sembahyang (Zuhur atau Maghrib), maka dia tidak boleh melakukan jama‘ ta’khir. Oleh yang demikian wajib dia mengqadha sembahyang pertama (Zuhur atau Maghrib) yang tidak dilakukan pada waktunya.

    2) Dua sembahyang yang dijama‘ dilakukan secara muwalah

    Muwalah adalah salah satu syarat sah jama‘ taqdim. Muwalah bermaksud berturut-turut iaitu tidak dipisahkan antara dua sembahyang yang dijama‘ dengan jarak waktu yang panjang.

    Jika antara kedua-dua sembahyang itu diselangi dengan jarak masa yang panjang, maka ia tidak boleh lagi dijama‘ dan sembahyang yang kedua (Asar atau Isya) wajib dikerjakan di dalam waktunya. Ini kerana ikatan jama‘ sembahyang kedua sudah hilang disebabkan oleh pemisahan jarak masa yang panjang antara keduanya.

    Manakala dalam jama‘ ta’khir pula tidak diwajibkan muwalah. Walau bagaimanapun hukumnya adalah sunat jika seseorang itu melakukan sembahyang jama‘ ta’khirnya dengan muwalah pada dua sembahyang yang dijama‘.

    3) Mengikut Tertib

    Di dalam sembahyang jama‘ taqdim, hendaklah sembahyang yang dijama‘ dilakukan secara tertib iaitu dengan mendahulukan sembahyang fardhu Zuhur kemudian sembahyang fardhu Asar dan mendahulukan sembahyang fardhu Maghrib kemudian sembahyang fardhu Isya.

    Dalam jama‘ taqdim, sembahyang yang pertama iaitu Zuhur dan Maghrib dilakukan pada waktu-waktunya, sementara sembahyang yang kedua iaitu Asar dan Isya hanya mengikuti sembahyang yang pertama. Sembahyang yang kedua tidak boleh didahulukan daripada yang pertama.

    Jika seseorang itu menjama‘ sembahyangnya secara taqdim dengan mendahulukan sembahyang fardhu Asar daripada sembahyang fardhu Zuhur atau mendahulukan sembahyang fardhu Isya daripada sembahyang fardhu Maghrib, maka tidak sah sembahyang Asar dan Isya yang dilakukannya itu.

    Dalam jama‘ ta’khir pula, menjama‘ sembahyang secara tertib tidak diwajibkan. Seseorang itu boleh mendahulukan sembahyang Asar kemudian baru sembahyang Zuhur atau sebaliknya ataupun mendahulukan sembahyang Isya kemudian baru sembahyang Maghrib atau sebaliknya. Akan tetapi melaksanakannya secara tertib adalah disunatkan.

    4) Berkekalan pelayaran sebagai syarat untuk melakukan jama‘ sembahyang

    Untuk melakukan jama‘ taqdim, disyaratkan pelayaran seseorang itu berkekalan sehingga dia selesai menyempurnakan takbiratul ihram bagi sembahyang yang kedua (sembahyang Asar atau Isya).

    Jika sekiranya seorang musafir itu ketika melakukan jama‘ taqdim menjadi bermuqim sebelum melakukan sembahyang yang kedua disebabkan dia berniat untuk menetap atau tinggal di tempat tersebut (lebih dari tiga hari tidak termasuk hari datang dan balik) atau kapalnya sampai pada tempat dia hendak bermuqim, maka batal sembahyang jama‘nya dan wajib ke atasnya melakukan sembahyangnya yang kedua (Asar atau Isya) pada waktu yang kedua. Walau bagaimanapun sembahyang pertama yang dilakukannya (dengan niat jama‘) adalah sah kerana sembahyang tersebut telah dilakukan pada waktunya.

    Jika dia menjadi orang yang bermuqim ketika dia sedang melakukan sembahyang yang kedua atau sesudah dia melakukan sembahyang yang kedua, maka sah jama‘ kedua-dua sembahyang tersebut.

    Dalam jama‘ ta’khir pula, hendaklah berkekalan pelayaran sehingga selesai sembahyang yang kedua. Oleh itu jika dia berniat untuk menetap di suatu tempat lebih daripada tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) atau dia sampai ke tempat dia hendak bermuqim sebelum dia selesai melakukan sembahyang yang kedua, maka batal jama‘ sembahyangnya.

    Demikian beberapa panduan mengenai dengan syarat-syarat jama‘ taqdim dan jama‘ ta’khir dan perbezaan pada syarat-syarat keduanya yang perlu diambil perhatian. Sebagai peringatan bahawa tidak boleh menjama‘ sembahyang sama ada jama‘ taqdim atau jama‘ ta’khir kecuali setelah melewati sempadan kampung halamannya dan juga hendaklah dia menetap di tempat tujuan tidak melebihi tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan hari balik) kerana jika lebih daripada itu maka dia sudah dikira bermuqim dan tidak harus lagi menjama‘ sembahyangnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda