Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbicaraan anggota beruniform miliki peluru haram ditangguhkan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Perbicaraan dua anggota beruniform kerana memiliki peluru secara haram telah ditangguhkan dan kes berkenaan diserahkan semula untuk didengarkan di Mahkamah Perantaraan.

    SLD 52589 Mohd Syafiq Nizamuddin bin Suhaili, 22 dan SLD 52616 Khairi Wafiuddin bin Mohaimin, 24, menghadapi pertuduhan bersama kerana memiliki tujuh peluru tanpa lesen yang mana melanggar peraturan 11 Peraturan Senjata dan Bahan Letupan Bab 58 dan boleh dikenakan hukuman di bawah peraturan 17 (1) yang sama.

    Perbicaraan telah dijadualkan berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Muhammed Faisal bin PDJLDRDSP Haji Kefli pada 21 Jun lalu.

    Oleh sebab perbicaraan diserahkan untuk didengarkan oleh Hakim Mahkamah Perantaraan, Radin Safie bin Radin Mas Basiuni, tarikh perbicaraan dijadualkan untuk didengarkan kepada 3, 4, 8, 9, 10, 11, 22, 23, 24, 25, 28 dan 30 November serta 1, 2 dan 6 Disember depan.

    Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 20 April 2019 pukul 1 pagi di sekitar tempat letak kereta Stadium Tertutup.

    Peguam bela untuk kedua-dua tertuduh telah menghadapkan permohonan pembatalan syarat pelaporan bulanan dalam bon jaminan dan telah diluluskan oleh mahkamah. Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri Kipri mewakili pendakwa raya sementara itu Peguam Mohd Shazale Salleh mewakili Mohd Syafiq Nizamuddin dan Peguam Daud Ismail mewakili Khairi Wafiuddin.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda