WASHINGTON, 15 APRIL – Perbicaraan terhadap syarikat Amerika Syarikat (AS), Meta telah dijadualkan bermula di Washington kelmarin berhubung dakwaan monopoli haram gergasi teknologi itu terhadap platform media sosial, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS (FTC), bagi pihak kerajaan AS, menuduh Meta membeli platform Instagram dan WhatsApp untuk menghapuskan persaingan.
Badan pemantau antimonopoli atau antitrust menuntut akibat bagi syarikat media sosial itu, termasuk pembatalan pengambilalihan itu.
Meta, yang juga memiliki Facebook, menolak tuduhan itu dengan alasan persaingan sengit dengan platform lain seperti TikTok.
Tuntutan mahkamah yang difailkan pada 2020 itu boleh berlanjutan selama bertahun-tahun, terutamanya memandangkan kemungkinan rayuan daripada mana-mana pihak.
Meta membeli Instagram pada 2012 dengan harga sekitar AS$1 bilion dan WhatsApp pada 2014 dengan harga sekitar AS$22 bilion, dengan FTC meluluskan pengambilalihan berkenaan. Sejak itu, Instagram menjadi antara penyumbang utama pendapatan Meta. – Bernama/dpa
