Tuesday, November 5, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbicaraan kes rogol sensasi di Perancis disambung semula

    AVIGNON, 4 NOV – Perbicaraan seorang lelaki Perancis yang merekrut puluhan individu asing untuk memperkosa isterinya yang diberi ubat bius di kediaman mereka akan disambung semula hari ini, dengan lapan lagi tertuduh baharu dijadual dibicarakan di mahkamah.

    Kes Dominique Pelicot, 71, bersama 50 rakan tertuduh berusia antara 26 hingga 74 tahun, telah mencetuskan kemarahan dan bantahan sejak ia dibuka pada 2 September di bandar selatan Avignon.

    Bekas isterinya, Gisele Pelicot, 71, telah menjadi ikon feminis di Perancis dan antarabangsa kerana enggan berasa malu dan menuntut agar perbicaraan ini diadakan secara terbuka.

    Mahkamah telah menyoal 36 tertuduh, termasuk Pelicot sendiri dan selepas rehat seminggu, perbicaraan akan diteruskan Isnin ini untuk mendengar keterangan lapan lagi rakan tertuduh.

    Salah seorang peguam Gisele, Antoine Camus, menyatakan bahawa perhatian antarabangsa telah memberi kekuatan kepada anak guamnya untuk meneruskan perjuangan kes berkenaan.

    “Ia adalah cabaran ketahanan, namun beliau tetap bersedia berjuang dan bertekad untuk menyelesaikan perbicaraan ini, terutama dengan sokongan yang diterimanya di Perancis dan luar negara,” katanya kepada AFP.

    “Beliau sering menerima pelbagai mesej yang berupa kata-kata semangat dan membantunya mengharungi cabaran ini, yang bukan sekadar untuk dirinya sendiri,” tambahnya.

    Penderaan tersebut terbongkar selepas polis menahan Dominique Pelicot pada 2020 kerana merakam dari bawah skirt wanita di sebuah pasar raya tempatan.

    Pelicot mengaku memperkosa isterinya ketika itu, Gisele dan mengatur agar puluhan individu turut terlibat dalam jenayah terbabit antara 2011 dan 2020, serta mendokumentasikan tindakan tersebut dalam ribuan imej yang ditemui penyiasat pada cakera keras miliknya. – AFP

    Gisele (kiri), diiringi peguamnya semasa meninggalkan mahkamah di Avignon selepas menghadiri perbicaraan kes berkenaan pada 23 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda