Oleh Ak Zaki Kasharan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Mahkamah Perantaraan, baru-baru ini, telah menetapkan perbicaraan pada Mac 2024 untuk mendengarkan kes seorang lelaki berusia 46 tahun yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap anak perempuannya yang di bawah umur.
Lelaki itu, yang identitinya tidak dapat didedahkan untuk melindungi mangsa, sebelum ini menafikan melakukan serangan seksual terhadap anak perempuannya yang berusia sembilan tahun di rumah mereka pada awal Ogos.
Defendan juga akan dibicarakan kerana didakwa melakukan serangan seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 11 tahun di rumah itu pada 7 Ogos.
Pertuduhan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Adliatul Haji Mohd Zaidi itu membawa hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun berserta sebat.
Hakim Harnita Zelda Skinner yang mengetuai sebutan kes itu pada 22 Ogos, akan mendengar perbicaraan yang ditetapkan antara 18 hingga 26 Mac 2024.


