BUENOS AIRES, 7 MAC – Empat tahun selepas kematian legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, tujuh petugas kesihatan akan dibicarakan minggu depan atas tuduhan kecuaian dalam rawatan semasa hari-hari terakhirnya.
Lebih daripada 100 saksi, termasuk ahli keluarga Maradona dan doktor yang pernah merawatnya selama bertahun-tahun, akan memberi keterangan sepanjang perbicaraan selama empat bulan yang bermula Selasa ini di San Isidro, pinggir bandar Buenos Aires.
Jika disabitkan bersalah, tujuh tertuduh berdepan hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun.
Diego Armando Maradona meninggal dunia pada 25 November 2020 pada usia 60 tahun ketika dalam proses pemulihan selepas pembedahan otak bagi membuang bekuan darah, selepas bertahun-tahun bergelut dengan ketagihan kokain dan alkohol.
Beliau ditemui tidak bernyawa di atas katil di sebuah rumah sewa di kawasan elit Buenos Aires, di mana beliau ditempatkan selepas keluar dari hospital dua minggu selepas pembedahan. Laporan menunjukkan punca kematian adalah serangan jantung. Jururawat yang bertugas pada malam kejadian berkata beliau melihat beberapa ‘tanda amaran’ tetapi menerima ‘arahan untuk tidak mengejutkannya.’ – AFP
