Perbicaraan pertama Park

SEOUL, 3 Jan – Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan hari ini mengadakan sesi dengar penuh pertamanya tentang sama ada untuk mengesahkan pendakwaan ke atas Presiden Park Geun-Hye, namun dia tidak menghadiri sesi tersebut.

Sesi dengar itu, yang menyusuli tiga sesi persiapan mahkamah bulan lalu hanya berjalan selama sembilan minit sebelum selesai.

Minggu lalu mahkamah memerintahkan bahawa Park, tidak perlu hadir bagi soal siasat.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan kajian adil dan menyeluruh ke atas kes itu,” kata Park Han-Chul, hakim tertinggi yang mengetuai panel sembilan anggota yang mengkaji kes itu.

Tanpa mengira sama ada Park muncul apabila sesi dengar disambung semula pada Khamis ini, kes itu akan diteruskan.

Para peguam jawatankuasa pendakwaan parlimen hadir pada perbicaraan pertama bagi perbicaraan dakwaan Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye di Mahkamah Perlembagaan di Seoul pada 3 Januari. – AFP
Para peguam jawatankuasa pendakwaan parlimen hadir pada perbicaraan pertama bagi perbicaraan dakwaan Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye di Mahkamah Perlembagaan di Seoul pada 3 Januari. – AFP

Peguamnya berkata beliau tidak mungkin menghadiri sesi dengar akan datang.

Pada 9 Disember parlimen mengundi untuk mendakwa Park berhubung skandal rasuah yang telah mengakibatkan beratus-ratus ribu pembantah keluar ke jalan raya setiap minggu.

Beliau telah digantung daripada tugas-tugas eksekutif dan negara itu ditadbir buat sementara yang diterajui oleh Perdana Menteri Hwang Kyo-Ahn.

Park dituduh berpakat sulit dengan rakan karibnya Choi Soon-Sil untuk memeras syarikat-syarikat besar supaya menyerahkan berpuluh-puluh juta dolar kepada yayasan yang diragui, yang dikawal oleh Choi.

Choi kini dibicarakan atas tuduhan memeras ugut dan menyalahgunakan kuasa, sebahagian besarnya berkaitan dengan pembiayaan korporat ke atas dua buah yayasan yang dia dikatakan telah mencuri dana dari yayasan itu.

Mahkamah perlembagaan mempunyai tempoh sehingga dua bulan untuk menentukan sama ada mengesahkan pendakwaan Park. Jika disahkan, pilihan raya presiden mesti diadakan dalam tempoh dua bulan.

Park berulang kali menafikan dakwaan rasuah dalam ucapan di televisyen yang kadangkala memperlihatkan beliau menangis, sementara memohon maaf atas kesilapan.– AFP