Thursday, February 27, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbincangan global lindungi alam semula jadi disambung semula

    ROM, 26 FEB – Perbincangan global untuk melindungi alam semula jadi disambung semula kelmarin, dengan seruan agar umat manusia bersatu untuk ‘memelihara kehidupan di planet ini’ dan menyelesaikan pertikaian mengenai pembiayaan yang menyebabkan mesyuarat sebelumnya pada tahun lalu berakhir dalam keadaan kucar-kacir.

    Lebih dua tahun selepas perjanjian penting mengenai alam semula jadi termasuk ikrar untuk melindungi 30 peratus daratan dan lautan dunia menjelang 2030, negara-negara masih berunding mengenai dana yang diperlukan untuk membalikkan kemusnahan yang menurut saintis mengancam sejuta spesies.

    Wakil negara yang bertemu di ibu pejabat Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB di Rom, ditugaskan untuk menyelesaikan kebuntuan antara negara kaya dan membangun, mengenai sama ada perlu mewujudkan dana khusus untuk membiayai pemuliharaan alam semula jadi.

    Perselisihan tersebut menyaksikan rundingan COP16 PBB di Cali, Colombia, pada November lalu berlarutan dan berakhir tanpa sebarang perjanjian.

    Bercakap pada pembukaan rundingan di Rom, banyak negara membangun menggesa mesyuarat membuka laluan kepada pembiayaan dan meminta negara-negara kaya menunaikan janji mereka untuk menyediakan AS$20 bilion setahun kepada negara miskin menjelang 2025.

    “Tanpa ini, kepercayaan mungkin terjejas,” kata wakil Panama, sambil menggesa komuniti antarabangsa memastikan pembiayaan keseluruhan selepas 2030 yang mencerminkan ‘krisis biodiversiti memerlukan tindakan segera.’

    “Ini adalah soal kelangsungan hidup ekosistem, ekonomi dan kemanusiaan. Kita tidak boleh mengulangi kegagalan dalam pembiayaan iklim. COP16 mesti menghasilkan keputusan, ia mesti menyediakan pembiayaan. Dunia sudah kesuntukan masa.”

    Rundingan itu berlangsung ketika negara-negara berdepan pelbagai cabaran, termasuk ketegangan perdagangan, kebimbangan mengenai hutang serta pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

    Presiden COP16, Susana Muhamad menggesa negara-negara untuk bekerjasama “untuk sesuatu yang mungkin menjadi tujuan terpenting kemanusiaan pada abad ke-21, iaitu usaha kolektif kita untuk mengekalkan kehidupan di planet ini”. – AFP

    Menteri Alam Sekitar Colombia, Susana Muhamad (tengah), berucap semasa pembukaan persidangan biodiversiti COP16 di ibu pejabat Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB di Rom, pada 25 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda