Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbincangan kukuh hubungan ROK-Brunei

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Kedutaan Besar Republik Korea (ROK) di Negara Brunei Darussalam, dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), buat julung kalinya telah menganjurkan Majlis Meja Bulat ROK-Brunei Darus-salam Bersama Rakan Asia Tenggara, hari ini.

    Majlis yang berlangsung di Dewan Canselor UBD itu antara lain bertujuan membincangkan tajuk semasa yang relevan dalam memperkukuh hubungan ROK dan Brunei Darussalam.

    Hadir selaku tetamu ke-hormat ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak ROK ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kim Soung-eun, dan Bekas Duta Besar ke Republik Singapura, Suh Chung Hsam, serta Penolong Naib Canselor UBD (Hal Ehwal Global), Dr Joyce Teo Siew Yean.

    Perbincangan meja bulat itu menampilkan dua pembentangan khas yang disampaikan oleh Suh Chung Ha mengenai Inisiatif Solidariti Korea-ASEAN (KASI) dan Profesor Kim Hyung Jong dari Jabatan Perhubungan Antarabangsa, Yonsei University yang menyentuh mengenai hubungan Korea-Brunei dalam konteks hubungan ROK- ASEAN.

    Ini diikuti dengan pelbagai topik perbincangan dalam kalangan pakar-pakar yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan Brunei, pakar industri dan ahli akademik yang mengetengahkan pelbagai aspek hubungan Korea-Brunei daripada masa depan dan bidang baharu dalam sektor digital dan pendidikan, pelancongan dan budaya, serta cabaran-cabaran serantau dan global.

    Gambar ramai TYT Kim Soung-eun dan tetamu khas pada majlis berkenaan.
    Tetamu kehormat semasa pembukaan Majlis Meja Bulat Republik Korea-Brunei Darussalam bersama Rakan Asia Tenggara.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, UBD telah lama bekerjasama dalam bidang akademik dengan universiti di ROK, yang mana setakat ini, 27 buah universiti rakan kongsi di ROK dan beberapa lagi melalui perkongsian pelbagai hala dalam Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) + 3, Mobiliti Antarabangsa Asia untuk Pelajar (Program AIMS) dan rangkaian Mobiliti Universiti di Asia dan Pasifik (UMAP).

    Dua dwi ijazah telah ditubuhkan antara UBD dan universiti terkemuka di ROK iaitu dwi ijazah Sarjana dan PhD dalam biodiversiti antara Fakulti Sains UBD dan College of Life Sciences and Biotechnology, Korea University.

    Selain itu, dwi ijazah Sarjana dan PhD dalam Industri Kejuruteraan antara Fakulti Teknologi Bersepadu (FIT) UBD dan Kolej Kejuruteraan Sungkyunkwan (SKKU).

    Di bawah program Discovery Year UBD, lebih 1,000 pelajar tahun ke-3 sejak 2011 telah dihantar untuk menghabiskan masa setahun di luar universiti di Korea.

    Bahasa Korea telah diajar di Pusat Bahasa UBD dan merupakan salah satu bahasa paling popular yang diambil oleh pelajar dan orang awam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda