Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Satu perjumpaan antara ahli Parlimen Malaysia dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MNN) telah diadakan di Bangunan Dewan Majlis kelmarin.
Rombongan Parlimen Malaysia diketuai oleh Ahli Parlimen Miri, Yang Berhormat Chiew Choon Man dan disertai oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Yang Berhormat Lee Chean Chung serta pegawai-pegawai dari Sekretariat Parlimen Malaysia manakala Ahli-ahli MMN pula diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
Pertemuan antara kedua-dua pihak telah membincangkan pelbagai isu penting yang menjadi keprihatinan bersama termasuk memperkukuhkan hubungan diplomatik dan hubungan antara kedua-dua parlimen, serta usaha untuk membina kerjasama strategik yang memberi impak kepada pelbagai sektor berkepentingan.
Kedua-dua pihak berharap hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh untuk mencapai kemajuan dan kesejahteraan bersama.
Suasana semasa pertemuan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT