WASHINGTON, 30 Dis – Amerika Syarikat (AS) dan China semalam berbincang mengenai kemajuan perang perdagangan yang telah menggegarkan pasaran sejagat, selepas rundingan melalui telefon antara pemimpin kedua-dua negara itu.
Selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden China Xi Jinping, Presiden AS, Donald Trump berkata melalui Twitter, “Baharu sahaja selesai berbual dan perbincangan yang sangat bagus bersama Presiden Xi dari China.”
“Perjanjian berjalan dengan baik. jika dimeterai, ia bersifat menyeluruh, meliputi semua perkara, lapangan dan perkara-perkara dalam pertikaian. Kemajuan besar telah dibuat!”
Bagi pihaknya, Xi memberitahu Trump bahawa China ‘amat mementingkan’ untuk meningkatkan hubungan dua hala dan ‘menggalakkan dan menyokong rundingan seterusnya antara AS dan Republik Rakyat Demokratik Korea Utara dan mengharapkan hasil positif,” lapor agensi berita kerajaan, Xinhua.
Washington dan Beijing mengenakan tarif balas balik ke atas barangan lebih AS$300 bilion dalam dagangan dua hala awal tahun ini, yang menyebabkan kedua-dua negara berkonflik yang telah menjejaskan keuntungan dan menyumbang kepada kejatuhan pasaran saham.
Sementara para pelabur bimbang dengan perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia ini, hubungan pulih sedikit sejak Xi dan Trump memeterai perjanjian perdagangan 90 hari pada awal Disember sementara kedua belah pihak berusaha mengurangkan ketegangan sebelum 1 Mac.
Xinhua memetik kenyataan Xi yang menyatakan bahawa China dan AS berusaha melaksanakan terma perjanjian perdamaian.
Ketika perbualan itu, Xi melahirkan harapan ‘yang boleh dimeterai separuh jalan oleh kedua belah pihak dan mencapai perjanjian yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan dunia seawal mungkin,” menurut Xinhua. – AFP
