BANDAR SERI BEGAWAN, 2013 – Pemilik sebuah pasar raya di sini terkejut dengan perbuatan seorang lelaki yang dipercayai mencurahkan cecair yang dipercayai najis ke atas susunan beras di pasar raya berkenaan.
Menurut pemilik pasar raya itu, pekerjanya melihat seorang lelaki yang berusia lingkungan 50an memakai kemeja-T berwarna kuning, memasuki kedai dan melakukan perbuatan berkenaan.
Menyedari akan perbuatan ‘tidak menyenangkan itu’ pekerja berkenaan melaporkan kejadian itu kepada pemilik pasar raya berkenaan.
Setelah meneliti rakaman litar tertutup (CCTV), lelaki berkenaan melakukan perbuatan tersebut sekitar pukul 4 petang di mana dia kelihatan mencurahkan cecair, dipercayai najis ke atas susunan beras di situ.
Menurut pemilik pasar raya itu lagi, kejadian dilaporkan kepada pihak polis dan rakaman serta gambar dari rakaman berkenaan juga telah diserahkan kepada pihak polis.
Sementara itu jurucakap Pasukan Polis Diraja Brunei ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihak polis telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan.