Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbuatan lucah: Lelaki tempatan didenda $1,500

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Seorang lelaki pada Sabtu lepas mengaku bersalah kerana melakukan perbuatan lucah di khalayak ramai dan dia telah dikenakan didenda $1,500.

    Pada kejadian tersebut, seorang wanita tergamam melihat Muhamad Sahrul Razi bin Japri, 24, membuka pakaian dan menggesel bahagian sulitnya di sebuah bangunan komersial di Kiulap hampir tengah hari pada 22 Mei tahun lalu.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi seterusnya mendedahkan wanita berkenaan yang bekerja di kawasan tersebut ketika itu segera mengeluarkan telefonnya untuk merakam gambar, namun defendan melarikan diri dari tempat kejadian.

    Wanita itu memfailkan laporan pada hari yang sama, membolehkan polis mengesan defendan tidak lama kemudian.

    Semasa menjatuhkan hukuman, Majistret Kanan Hajah Sufitriana binti Haji Abdul Rahman berkata kesalahan seksual seperti yang dilakukan oleh defendan tidak akan ditoleransi dan mahkamah mesti melindungi masyarakat daripada perbuatan songsang yang dilakukan di khalayak ramai.

    Defendan telah diperintahkan untuk kembali ke mahkamah pada 5 Ogos untuk semakan bayarannya, sekiranya defendan gagal membayarnya, dia perlu menjalani hukuman penjara selama enam minggu,

    Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara mengingatkan orang ramai bahawa kesalahan sedemikian boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda antara $500 hingga $5,000.

    Kesalahan kedua atau seterusnya akan dikenakan denda yang dipertingkatkan antara $1,000 hingga $30,000.

    Peruntukan itu diperolehi daripada pertuduhan yang termaktub di bawah Seksyen 294 Kanun Keseksaan, Bab 22, di mana ia menyatakan bahawa mana-mana orang yang sehingga mengganggu orang lain, melakukan apa-apa perbuatan lucah di mana-mana tempat awam boleh berdepan hukuman.

    Gambar Freepik

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda