Oleh Sim Y. H. –
Impian sekumpulan enam orang belia daripada Liga Belia Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei Darussalam untuk mendaki dan tiba di puncak Gunung Rinjani menjadi realiti apabila kumpulan pendaki belia berkenaan berjaya tiba ke puncak gunung itu, baru-baru ini.
Kumpulan belia daripada persatuan berkenaan telah diketuai oleh Pengerusi Liga Belia, Katherine Hii Peck Ngah bersama lima orang ahli jawatankuasa iaitu Wong Ching Ching, Kang Tzin Min, Connie Lau, Lee Kah Seng dan Cheing Leon Son yang telah mengadakan Ekspedisi Mendaki Gunung Rinjani, Pulau Lombok, Indonesia pada 14 hingga 16 Mei lalu.
BENARKAH KAMU SEMUA INGIN MENDAKI GUNUNG RINJANI?
Setelah berjaya mendaki Gunung Kinabalu pada 2023, kumpulan belia berkenaan menaruh harapan untuk membuat pendakian yang lebih mencabar bagi 2024 dan setelah membuat perbincangan sesama diri mereka, telah membuat keputusan untuk menyasarkan pendakian ke puncak Gunung Rinjani.
Menurut Katherine Hii, apabila kumpulan berkenaan menyatakan hasrat untuk membuat pendakian ke puncak Gunung Rinjani, mereka berhadapan dengan persoalan jika mereka benar-benar ingin mendaki gunung berkenaan kerana ia merupakan satu pendakian yang tidak mudah dengan penuh cabarannya tersendiri.
Namun menurutnya lagi, satu perkara yang perlu diketahui mengenai kumpulannya itu, adalah mereka tidak mudah mengalah dan berdiri teguh untuk menyahut cabaran di hadapan mereka serta mencapai impian mendaki ke puncak gunung itu.




EKSPEDISI PENDAKIAN GUNUNG RINJANI BERMULA
Katherine berkata bahawa ekspedisi tiga hari dua malam mereka bermula pada pagi 14 Mei di mana pada hari pertama, mereka telah berjalan selama enam jam meliputi laluan sejauh 10.7 kilometer untuk sampai ke kem mereka.
Menurutnya, perjalanan pada hari pertama itu amat mencabar disebabkan oleh laluan pendakian curam dengan beberapa orang dalam kumpulan mereka turut mengalami kekejangan otot.
Semua itu, tambahnya merupakan sesuatu yang mereka telah jangkakan tetapi apa yang di luar jangkaan adalah gegaran yang dirasai disebabkan oleh kejadian gempa bumi kecil di mana bagi kebanyakan mereka, merupakan kali pertama pernah dialami dan perasaan gementar tidak dapat dinafikan mula menjelma yang menguji keyakinan diri mereka.
Namun begitu, tidak ada sebarang amaran untuk berpindah dikeluarkan, yang membawa erti bahawa adalah selamat bagi mereka untuk meneruskan ekspedisi mereka.
Menurut Katherine lagi, mereka tidak dapat tidur dengan nyenyak pada malam berkenaan dan dengan hanya berbekalkan tidur selama tiga hingga empat jam sahaja, mereka bersiap untuk meneruskan perjalanan menuju ke puncak gunung pada tengah malam di mana suhu malam itu telah turun serendah 10 darjah Celsius di kem pangkalan.
Pendakian menuju ke puncak gunung adalah amat curam dan gelap, sejuk serta berangin membuatkan setiap langkah lebih berat daripada sebelumnya. Apa yang telah dikatakan oleh mereka yang pernah melakukan pendakian ke Gunung Rinjani merupakan benar, setiap dua langkah ke hadapan yang diambil, satu langkah ke belakang, tetapi menurut Katherine, berundur bukannya satu pilihan bagi mereka dan mereka meneruskan pendakian setapak demi setapak menuju ke puncak bersama-sama puluhan pendaki antarabangsa lain yang juga sedang melakukan pendakian.
Setelah berjalan selama kira-kira enam jam, mereka berjaya untuk sampai ke puncak Gunung Rinjani di 3,726 ASML dan bagi kumpulan berkenaan, pemandangan dari atas puncak itu menjadikan cabaran pendakian amat berbaloi dan satu pengalaman luar biasa yang sentiasa menjadi ristaan bagi mereka.
Walaupun telah tiba di puncak gunung berkenaan, ia tidak bererti bahawa misi mereka telah tercapai dan ekspedisi mereka telah berakhir. Ia adalah kerana mereka masih mempunyai perjalanan turun sejauh 11.6 kilometer sebelum tiba ke tapak perkhemahan kedua untuk berehat pada malam kedua.
Pendakian turun tidak kurang mencabar, jelas Katherine dan walaupun keletihan mula meresap ke dalam diri masing-masing, namun setiap ahli kumpulan tidak mahu mengalah dan tekun untuk meneruskan perjalanan tersebut.
“Secara jujurnya, kami tidak mempunyai sebarang pilihan. Realitinya, tidak ada jalan keluar melainkan kami menamatkan perjalanan itu.”
Pada hari ketiga dan terakhir ekspedisi, kumpulan itu harus melalui perjalanan sejauh 16.5 kilometer dengan disajikan pemandangan yang luar biasa dan menawan yang membuatkan keletihan mereka hilang.
Mengetahui bahawa perjalanan mereka menghampiri ke penghujungnya, walaupun pengalaman yang dilalui beberapa hari itu amat mencabar tetapi perasaan rindu itu mula hadir di mana mereka mempunyai perasaan bercampur mengenangkan bahawa mereka akan meninggalkan gunung yang telah menjadi kenalan bagi mereka.
Katherine berkata pengalaman bersama para pendaki lain, jurupandu mereka dan persekitaran gunung serta pendakian itu merupakan satu pengalaman yang luar biasa dan menakjubkan bagi mereka.
APA YANG KAMI PELAJARI SEBAGAI INDIVIDU DAN SEBAGAI SEBUAH PASUKAN
Ia bukannya sesuatu yang mudah dan walaupun kami tersenyum dan ketawa di sepanjang perjalanan itu, memandang ke belakang, perjalanan dan pendakian itu adalah amat mencabar bagi setiap ahli.
Berbeza daripada apa yang difikirkan oleh mereka yang bukan kalangan pendaki, jelasnya lagi, pendakian naik dan turun itu, tidak hanya mengambil masa sehari sahaja dan ia juga tidak menjanjikan penginapan bertaraf lima bintang.
“Ia adalah ekspedisi beberapa hari yang melibatkan perkhemahan yang tidak mempunyai akses bekalan air tersedia dan bekalan elektrik.”
Walaupun terdapat mereka yang mungkin kurang percaya akan kebolehan kumpulan itu mencapai matlamat tersebut, tetapi mereka percaya hanya mereka yang mengetahui akan kebolehan diri.
“Dengan keyakinan, keinginan, disiplin dan kumpulan sokongan yang betul, tidak ada yang mustahil untuk dicapai, kamu juga boleh melakukannya dan oleh itu, kami berjaya melakukannya!”

