Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Percutian impian bertukar ngeri

    ROM, 22 SEPT – Seorang pelancong dari Romania terpaksa meringkuk hampir sebulan dalam penjara selepas polis tersalah anggap dirinya sebagai seorang penjenayah buruan pada hari pertama percutiannya di Itali, kata peguamnya baru-baru ini.

    “Mimpi ngeri ini sudah berakhir,” kata Ovidiu A. sebaik sahaja dibebaskan dari penjara Pordenone di utara Itali Khamis lalu, lapor akhbar tempatan Corriere del Veneto.

    “Akhirnya beliau dapat kembali bertemu keluarganya,” yang telah menantinya sejak 24 Ogos, iaitu hari dia ditangkap, kata peguamnya Stefano De Rosa kepada AFP.

    Berasal dari Iasi, Romania, Ovidiu A. datang untuk meluangkan masa beberapa hari bersama keluarganya di Caorle, berhampiran Venice.

    Namun, dia mendapati namanya sama dengan seorang penjenayah Romania yang pernah dijatuhkan hukuman dua tahun penjara di Itali atas kesalahan kecurian.

    Nama yang didaftarkan di hotel ketika ketibaannya mencetuskan amaran, lalu pelancong itu ditahan oleh pasukan Carabinieri ketika sedang menikmati sarapan pertamanya.

    Peguamnya menjelaskan bahawa dia menghadapi kesukaran mengumpul bukti bagi membuktikan ia adalah kes salah tangkap, kerana perbicaraan asal kes kecurian itu berlangsung sejak 2014 dan keputusan muktamad hanya dibuat pada 2020.

    “Sistem komputer polis, penjara, mahkamah dan Carabinieri tidak berhubung antara satu sama lain. Saya terpaksa meminta dokumen daripada setiap pejabat,” katanya.

    Menurut Corriere del Veneto, pelancong berkenaan dan keluarganya dijangka akan meneruskan percutian di Itali untuk beberapa hari lagi sebelum pulang ke Romania. – AFP

    Gambar Pexel
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda