BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Dayang Fatin Nadiah binti Morshidi pulang dengan gembira apabila hasrat untuk memenangi tiket penerbangan untuk dua orang ke United Kingdom, akhirnya menjadi kenyataan setelah berjaya memilih sampul yang membawa tuah kepadanya pada majlis penyampaian dan cabutan bertuah Promosi ‘HP Buy Original & Win- Series 6’, hari ini.
Majlis yang berlangsung di Restoran Horizons Seafood di ibu negara menyaksikan 20 pemenang menerima hadiah.
Hadiah kedua berupa tiket penerbangan ke Jepun untuk dua orang dimenangi oleh Awang Sipawih bin Mahson manakala itu, Awang Mohd Sani bin Haji Mat Serudin memenangi tiket penerbangan untuk dua orang ke Dubai.
Sementara itu, 17 pemenang yang lain menerima pelbagai barangan HP.
Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pengarah Urusan Sulaiman Development Services Sdn Bhd (SDS) selaku pengedar sah Hewlett-Packard (HP) di Brunei, Haji Sulaiman bin Haji Ahai.
Pada majlis itu, Haji Sulaiman mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyertai promosi berkenaan dan semua penjual produk HP atas kerjasama dalam menjayakan promosi.
Promosi yang berakhir pada pertengahan Disember 2019 itu dihasratkan dapat meningkatkan kesedaran seterusnya memberi pengetahuan kepada orang awam mengenai cara untuk mengenal pasti kartrij tinta HP asli dan palsu yang dijual di negara ini.
HP melalui SDS, secara aktif telah bekerjasama dengan agensi berkaitan mengenai perkara-perkara yang berkenaan dengan hak harta intelek produk HP palsu.
