Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perdagangan Brunei-China cecah AS$1.6 bilion

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China terus menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala yang erat serta mesra di mana hubungan itu kekal membawa manfaat kepada negara dan penduduk kedua-dua buah negara.

    Perkara itu dinyatakan oleh Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo dalam ucapannya di Majlis Resepsi Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-76 yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.

    Hadir di majlis berkenaan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan isteri serta perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan jemputan khas.

    YB Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan TYT Xiao Jianguo bersama-sama memotong kek ulang tahun Penubuhan Republik Rakyat China Ke-76.

    TYT Xiao Jianguo dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa dalam tujuh bulan pertama bagi 2025, perdagangan dua hala antara Brunei dan China telah mencapai AS$1.636 bilion dengan China kekal sebagai sumber pelaburan terbesar bagi Brunei serta satu daripada tiga rakan kongsi perdagangan terbesar.

    Beliau menjelaskan bahawa projek-projek kerjasama ‘Belt and Road’ seperti Hengyi Industries terus beroperasi pada standard yang tinggi sambil bergerak ke fasa kedua serta pengembangan Pelabuhan Muara semakin maju.

    TYT Xiao Jianguo menyampaikan ucapan di majlis resepsi berkenaan.

    Kedua-dua buah negara juga telah mengumumkan pengecualian visa di antara satu sama lain, menjadikan pertukaran orang ke orang lebih mudah dan kerap.

    TYT Xiao Jianguo seterusnya menyatakan bahawa China bersedia untuk bekerjasama dengan Brunei untuk melaksanakan lebih banyak projek dan mengembangkan kerjasama dalam sektor hijau dan digital supaya dapat menanam lebih banyak benih persahabatan yang boleh mekar di hati penduduk kedua-dua buah negara dan meraih manfaat yang nyata dalam perkembangan mempelbagaikan ekonomi Brunei.

    Majlis seterusnya menyaksikan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan TYT Xiao Jianguo bersama-sama menyempurnakan pemotongan kek sempena ulang tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-76.

    YB Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan TYT Xiao Jianguo bergambar-ramai dengan perwakilan-perwakilan daripada negara-negara sahabat. – GAMBAR-GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda