Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Eksport China berkembang 4.4 peratus pada Ogos

    BEIJING, 8 SEPT – Eksport China mencatat pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus pada Ogos, namun gagal mencapai jangkaan, menurut data rasmi semalam.

    Penghantaran ke Amerika Syarikat (AS) menurun, tetapi lonjakan eksport ke Asia Tenggara dan Eropah membantu mengimbangi sebahagian kelemahan itu.

    Ketegangan perdagangan antara Beijing dan Washington terus berubah-ubah sepanjang 2025, dengan kedua-dua pihak saling mengenakan tarif baharu.

    Eksport ke AS rakan dagangan terbesar China berdasarkan negara tunggal  jatuh 11.8 peratus berbanding bulan sebelumnya dan merosot 33.1 peratus berbanding tahun lalu.

    Sebaliknya, eksport ke Kesatuan Eropah melonjak 10.4 peratus, manakala penghantaran ke negara ASEAN meningkat 22.5 peratus tahun ke tahun.

    Namun, jumlah keseluruhan eksport masih gagal mencapai unjuran Bloomberg sebanyak 5.5 peratus.

    Import turut tidak menepati ramalan, hanya meningkat 1.3 peratus pada Ogos berbanding jangkaan 3.4 peratus.

    Beijing menetapkan sasaran rasmi pertumbuhan sekitar lima peratus tahun ini, tetapi berdepan kesukaran mengekalkan pemulihan kukuh selepas pandemik akibat krisis hutang dalam sektor hartanah, penggunaan domestik yang lemah dan pengangguran belia yang tinggi.

    Data rasmi turut menunjukkan pengeluaran kilang meningkat sedikit pada Ogos, namun kekal dalam fasa pengecutan lima bulan berturut-turut, menandakan ketegangan perdagangan terus menekan ekonomi berasaskan eksport itu.

    Penganalisis menjangkakan perdagangan China masih berdepan cabaran pada baki tahun ini, dengan ketidakpastian berterusan.

    Menurut Zichun Huang, Ahli Ekonomi China di Capital Economics, manfaat sementara daripada gencatan perdagangan AS-China semakin pudar, sementara Washington meningkatkan tarif ke atas penghantaran yang dialihkan melalui negara lain. – AFP

    Gambar ini menunjukkan sebuah kren memuatkan kontena ke atas trak di pelabuhan kontena automatik di Tianjin, China pada 29 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda