TOMOHON, INDONESIA, 21 JULAI – Pihak berkuasa Indonesia hari ini mengumumkan penamatan penyembelihan daging anjing dan kucing yang ‘kejam’ di pasar haiwan terkenal di Kepulauan Sulawesi berikutan kempen selama bertahun-tahun oleh aktivis tempatan dan selebriti dunia.
Pasar Ekstrem Tomohon akan menjadi pasar pertama seumpamanya di Indonesia dari menjadi pasar bebas daging anjing dan kucing, menurut kumpulan antikekejaman haiwan, Humane Society International (HSI).
Imej anjing dan kucing yang diseksa ketika masih hidup telah mencetuskan kemarahan.
Penamatan penyembelihan dan perdagangan itu diumumkan hari ini oleh Datuk Bandar Tomohon, Caroll Senduk. HSI berkata mereka akan menyelamatkan semula baki anjing dan kucing yang masih hidup daripada pembekal rumah sembelihan dan membawa haiwan tersebut ke pusat perlindungan.
Pasar Ekstrem Tomohon sebelum ini menjadi tarikan pelancong dan disenaraikan sebagai sebuah destinasi yang turut menjual daging kucing dan daging lapah bintang liar serta spesies dilindungi seperti kelawar, ular dan reptilia lainnya.
HSI dan kumpulan Indonesia berkempen untuk menamatkan perdagangan anjing hidup bagi konsumsi manusia kerana penyakit anjing gila boleh menular kepada manusia semasa penyembelihan atau menjadi kontak dengan daging yang dijangkiti.
Video yang diambil di dua buah pasar di wilayah Utara Sulawesi pada 2018 menunjukkan anjing diasak dalam kurungan ketika pekerja mengeluarkan haiwan itu dan menyeksanya menggunakan kayu.
Kumpulan kebajikan menggelar layanan terhadap haiwan di pasar itu sebagai ‘kejam’, meraih simpati di dalam kalangan penduduk Indonesia dan seluruh dunia. – AP


